Pulau Pinang jangan menyibuk - Sanusi - Utusan Malaysia

Pulau Pinang jangan menyibuk – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Pulau Pinang diminta untuk tidak terus ‘menyibuk’ dalam urusan berkaitan negeri ini termasuk berhubung pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sehingga kini kerajaan negeri Kedah sama sekali tidak pernah campur tangan dalam urusan negeri itu.

Justeru katanya, kerajaan negeri itu juga tidak mempunyai sebab untuk mencampuri urusan negeri ini.

“Saya baca surat khabar dan beberapa portal mengenai reaksi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy mengenai KXP. Pesan saya mind your own business (Jaga urusan awak sendiri).

“Saya tak kacau Pulau Pinang dan kamu jangan kacau Kedah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco mingguan yang diadakan secara dalam talian di sini, hari ini.

Kelmarin Muhammad Sanusi mengumumkan bahawa fasa pertama projek itu yang bernilai RM6 bilion dijangka akan dimulakan dalam tempoh terdekat.

Menurutnya, KXP dijangka akan memainkan peranan utama dalam beberapa cabang industri penerbangan serantau sekali gus menjadi ‘game changer’ kepada kemajuan ekonomi negeri ini serta beberapa negeri berjiran di utara tanah air.

Begitu pun Ramasamy dalam satu kenyataan semalam mempersoalkan sama ada rancangan pembinaan KXP menjadi satu keperluan utama pada masa ini.

Pemimpin DAP itu meminta Muhammad Sanusi memandang serius kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya daripada memberi tumpuan kepada perjanjian syarikat yang membawa kepada pelaksanaan projek berkenaan.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN