Pulau Pinang harap stok vaksin bulan ini tidak dikurangkan - Utusan Malaysia

Pulau Pinang harap stok vaksin bulan ini tidak dikurangkan

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap stok bekalan vaksin Covid-19 untuk negeri itu tidak akan akan dikurangkan bagi bulan ini selepas bekalannya bertambah pada bulan lepas. 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sehingga kini kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan negeri masih belum dimaklumkan berhubung jumlah bekalan vaksin yang bakal tiba pada minggu kedua bulan ini dan seterusnya. 

“Adalah diharapkan Menteri Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Khairy Jamaluddin) dapat memberikan maklum balas segera berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Kon Yeow, kadar vaksinasi bagi dos kedua di negeri itu akan mula bertambah minggu depan apabila mereka yang menerima vaksin AstraZeneca (AZ) dan beberapa pusat pemberian vaksin (PPV) di bawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) memulakan suntikan dos kedua.

Jelas beliau, usaha itu bagi membolehkan Pulau Pinang mencapai kadar vaksinasi 40 peratus seterusnya memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN). 

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kira-kira 1.1 juta penduduk Pulau Pinang ketika ini sudah menerima vaksin iaitu masing-masing 786,878 untuk dos pertama dan 313,195 (dos kedua).

Selain itu katanya, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Pusat juga telah meluluskan cadangan serta permohonan Pulau Pinang berhubung pembukaan PPV Vangohh Eminent Hotel & Spa bagi meningkatkan kadar vaksinasi di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT). 

“Dengan kapasiti suntikan harian sebanyak 2,000 dos di PPV yang dijangka bermula pada 9 Ogos 2021, secara keseluruhan terdapat empat PPV di daerah berkaitan selain SP Arena; Tapak Ekspo Seberang Jaya dan PPV One Hope Charity di Juru. 

“Umumnya, sebanyak 4,800 dos suntikan harian akan dicapai dengan pengoperasian penuh keempat-empat PPV berkenaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN