Pulangkan duit umrah kami - Utusan Malaysia

Pulangkan duit umrah kami

KHADIJAH Din (kiri) dan Azizah Ramli menunjukkan invois bayaran dan surat permohonan mengembalikan wang mereka pada telefon bimbit mereka di Kuala Kangsar semalam - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Tujuh individu di sini buntu untuk mendapatkan semula wang yang telah mereka bayar untuk menunaikan ibadah umrah kepada sebuah syarikat yang berpejabat di Johor Bahru, Johor.

Lebih menyedihkan di antara mereka yang amat memerlukan wang berkenaan untuk kegunaan penting berikutan Covid-19.

Pesara guru, Khadijah Din, 69, berkata, dia bersama enam lagi individu terdiri daripada adik-beradik, anak saudara serta rakannya sudah melakukan pelbagai usaha agar wang mereka dikembalikan semula.

Menurut Khadijah, setiap daripada mereka membayar RM5,820 seorang kepada syarikat berkenaan antara Disember 2019 hingga Januari 2020 untuk mengerjakan ibadah umrah yang dijadualkan pada April tahun lalu.

Katanya, mereka telah membayar deposit RM500 seorang pada Disember 2019 dan bakinya RM5,320 pula dibayar pada Januari 2020 untuk pergi umrah.

“Tetapi ibadah umrah ditangguhkan sebab seluruh dunia berdepan Covid-19 dan kami faham perkara tersebut, lalu kami menarik diri.

“Kini kami mahu wang dikembalikan,” katanya kepada Utusan Malaysia, ketika ditemui di sini semalam.

Khadijah berkata, dia pernah ke pejabat cawangan pejabat syarikat berkenaan di Sungai Buloh, Selangor, September tahun lalu untuk memberitahu mereka mahu menarik diri dan menuntut wang dikembalikan.

Katanya, kerani di pejabat syarikat berkenaan meminta mereka membuat surat dan memberitahu syarikat itu akan melakukan potongan berjumlah RM300 disebabkan mereka menarik diri.

“Saya bersetuju dan kerani tersebut memaklumkan proses untuk kami dapat duit kami semula mengambil masa tiga ke enam bulan.

“Tetapi sampai sekarang kami belum dapat balik duit kami dan kini sudah masuk 11 bulan,” katanya.

Menurutnya, dia cuba menghubungi pejabat cawangan berkenaan serta pejabat utama agensi tersebut di Johor Bharu, namun panggilan tidak dijawab.

Seorang lagi individu yang mendaftar untuk menunaikan umrah, Azizah Ramli, 67, yang merupakan pesara jururawat berkata, ada di antara mereka yang menyimpan duit kerja untuk membayar pakej umrah berkenaan.

“(Nilai)RM5,520 itu banyak bukan sikit, lebih-lebih lagi buat mereka yang benar-benar memerlukan duit saat ini, jadi tolonglah pulangkan wang kami kembali,” katanya.

Khadijah dan Azizah memberitahu mereka akan membuat laporan polis sekiranya mereka tidak wang mereka tidak dikembalikan daripada syarikat tersebut sehingga hujung tahun ini.

Sementara itu, Utusan Malaysia telah menghubungi pejabat syarikat berkenaan di Johor Bahru namun dijawab oleh operator.

Percubaan untuk mendapatkan komen daripada pengurusan syarikat tidak berhasil. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya