PSUAM cadang Najib dilantik PM Interim - Utusan Malaysia

PSUAM cadang Najib dilantik PM Interim

Syed Muhammad Imran SN Syed Abdul Aziz hadir bagi menyerahkan memorandum memohon pengampunan Diraja ke atas Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sekaligus melantik beliau sebagai Perdana Menteri Interim "Caretaker" di Pintu 3 Istana Negara hari ini. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) menyerahkan surat cadangan memohon pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Interim serta memohon pengampunan diraja dikurniakan bagi menggantikan kerajaan sedia ada.

Surat itu diserahkan hari ini di Istana Negara.

Pengerusi PSUAM, Syed Muhammad Imran S. N. Syed Abdul Aziz berkata, cadangan pelantikan tersebut adalah bagi menggantikan pimpinan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang gagal mendapatkan sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Perkara ini sekali gus membuktikan kegagalan pemerintahan beliau menangani isu politik tanah air selain dalam pengurusan kesihatan menangani wabak Covid-19.

“Melihat ketokohan Najib memegang tampuk jawatan Perdana Menteri Malaysia keenam, ini menunjukkan keupayaan dan kecekapan beliau menguruskan ekonomi negara dengan baik serta membawa negara ke persada antarabangsa.

“Melihat kepada jangkitan Covid-19 mencecah 20,000 sehari, menggambarkan kegagalan besar kerajaan pimpinan Muhyiddin dalam mengatur strategi pengurangan kadar jangkitan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penyerahan memorandum di Istana Negara oleh 175 NGO Islam Malaysia yang merayu campur tangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu bagi menghentikan pertelingkahan parti politik dan mengutamakan kepentingan rakyat.

Menurut Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Mohd. Zai Mustafa, sekiranya kerajaan pemerintah ketika ini terbubar, maka, tiada pihak lain memperolehi majoriti membentuk kerajaan.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim sebelum ini turut menzahirkan kekecewaan terhadap tindakan pemimpin politik yang mengganggu gugat kerajaan dan berebut kuasa pada saat rakyat berdepan dengan wabak Covid-19 yang mencatatkan peningkatan kes sehingga 20,000 kes.

Tambah Syed Muhammad Imran, pihaknya juga memohon pengampunan Agong terhadap Najib daripada apa jua tindakan mahkamah baik yang sedang berlangsung ataupun yang telah dijatuhi hukuman bersalah ke atas beliau.

“Dengan pengampunan, kepercayaan serta pengalaman dan ketokohan yang dimiliki Najib berbanding pemimpin lain ketika ini, beliau satu-satunya pemimpin yang dilihat layak dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

“Pihak kami berharap kepimpinan kerajaan oleh Datuk Seri Najib akan lebih sempurna dan menjamin kesejahteraan dan kebahagian rakyat pada masa akan datang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN