Projek perintis peranti elektronik pantau kuarantin - Utusan Malaysia

Projek perintis peranti elektronik pantau kuarantin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan bakal melancarkan projek perintis gelang pengawasan elektronik melibatkan 1,000 individu sebelum diperluaskan membabitkan 30,000 individu lagi.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Chong Chee Kheong berkata, peranti khas itu akan memantau kawalan kuarantin kendiri para pesakit di kediaman dengan menggunakan teknologi identifikasi berasaskan frekuensi radio (RFID) dan dipasang kad modul pengenalan pelanggan (SIM) boleh dijejak sistem posisi sejagat (GPS).

“Ini menggantikan gelang jenis plastik biasa berwarna merah jambu, namun, buat permulaan, ia cuma meliputi pengembara luar yang tiba di Malaysia dan kontak rapat bergejala,” jelasnya dalam sidang akhbar khas kementerian tersebut di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Chee Kheong berkata, pihak kementerian itu akan bekerjasama dengan polis jika berlaku pelanggaran kuarantin oleh individu terbabit yang dikesan cuba keluar dari rumah.

“Pembekalan peranti ini akan dibuat secara penyumberluaran dengan syarikat berkelayakan manakala maklumat kesihatan individu boleh direkodkan setiap hari secara digital,” katanya.

Projek berkenaan juga akan meliputi pesakit Covid-19 tanpa bergejala iaitu kategori 1 dan gejala ringan dalam kategori 2 yang diwajibkan menjalani kuarantin kendiri di rumah mereka sendiri.

Sementara itu, beliau turut melahirkan kebimbangan trend peningkatan kes baharu di Lembah Klang yang setiap hari memerlukan tambahan sehingga 300 katil di hospital khusus Covid-19.

Sejak Pasukan Bertindah Khas Greater Klang Valley yang diterajui beliau dibentuk pada bulan lalu, pihaknya menambah, daripada hanya sekitar 6,000 katil bertambah kepada 8,000 katil setakat ini.

“Bagaimanapun, ada sedikit penurunan kes berbanding minggu lepas, tetapi, sekiranya masih berterusan, kapasiti katil sedia ada cuma mampu bertahan selama dua minggu,” jelasnya.

Dalam pada itu, pasukan tersebut turut memulakan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara maya sejak minggu lalu dengan sudah memantau 80,000 kes kuarantin di rumah setiap hari, dan daripada jumlah itu, 50 peratus merupakan kategori 1 manakala 30 peratus lagi kategori 2 dan baki mereka yang ada gejala amaran dengan sejumlah 800 kes perlu dihubungi atas talian.

Pasukan tersebut juga ujar beliau, telah pun memobilisasi 1,000 staf tambahan dari pelbagai agensi dan badan sukarelawan untuk bertugas di pusat panggilan dan pengesanan kontak.

“Pihak tentera turut bantu dengan mobilisasi 1,000 anggota ke hospital serta pusat rawatan dan kuarantin Covid-19 (PKRC) bagi pembekalan oksigen secara pantas,” kata Chee Kheong. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya