PPV UMS capai lebih 100 peratus pemberian vaksin - Utusan Malaysia

PPV UMS capai lebih 100 peratus pemberian vaksin

Penerima vaksin secara walk-in masih menunggu giliran untuk memasuki dewan PPV di UMS, Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mencapai lebih 100 peratus sasaran pemberian vaksin sejak proses vaksinasi secara walk-in dibuka bermula Selasa.

Pegawai Perubatan Hospital UMS (HUMS), Dr. Rishaini Elengovan berkata, UMS mempunyai kapasiti memberikan 3,000 dos vaksin setiap hari.

 

DR RISHAINI ELENGOVAN

Bagaimanapun katanya, dengan pemberian vaksinasi secara walk-in selama empat hari bermula Selasa, PPV ini menerima lebih daripada 3,000 orang penerima vaksin setiap hari.

Situasi ini menunjukkan satu perkembangan yang baik bagi membolehkan Sabah mencapai imuniti berkelompok dengan lebih pantas.

“Bermula Selasa, kami menerima kira-kira 800 hingga 900 orang penerima vaksin secara walk-in setiap hari. Keadaan ini membolehkan PPV ini mengisi kekosongan 20 hingga 25 peratus penerima yang tidak hadir janji temu melalui MySejahtera.

“Apabila ada penerima walk-in, tiada pembaziran vaksin yang berlaku. Kita menerima vaksin setiap minggu dengan kapasiti 3,000 dos vaksin setiap hari bagi dos pertama dan kedua,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurutnya, hari ini merupakan hari terakhir pemberian vaksin secara walk-in dan dijangka 900 orang penerima akan hadir kerana setakat 2 petang tadi, 700 orang penerima sudah berdaftar.

Mengulas lanjut, Dr. Rishaini berkata, terdapat beberapa masalah dokumentasi bagi penerima vaksin secara walk-in kerana sesetengah penerima tidak mempunyai Kad Pengenalan dan hanya menggunakan pasport yang turut digunakan di Semenanjung Malaysia.

“Bagi kes sebegini, penerima  tidak dapat diberikan vaksin kerana nombor pasport yang digunakan bagi mendaftar MySejahtera sudah menerima vaksin di tempat lain. Jadi, mereka dinasihatkan membuat laporan polis bagi mengelakkan pertindihan dokumentasi.

“Malah, ada penerima yang hanya menggunakan nombor sijil kelahiran dan nombor Imigresen tapi, vaksin tetap akan diberikan kerana mereka sudah mendaftar dalam MySejahtera,” katanya.

Tambah beliau, PPV UMS memberi keutamaan walk-in kepada penerima yang berusia 40 tahun dan ke atas serta golongan yang berisiko tinggi seperti ibu mengandung dan orang kelainan upaya (OKU). -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN