KUALA TERENGGANU: Cadangan pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) pelancongan yang julung kali di negeri ini akan mempercepatkan lagi proses vaksinasi Covid-19 kepada pengusaha dan pekerja hotel terutama di kawasan pusat bandar.
Pengarah pelancongan negeri, Fadli Yusof Zakaria berkata, wujud keperluan untuk mewujudkan PPV khas berkenaan memandangkan tiada sebarang program khusus untuk warga hotel di bandar Kuala Terengganu.
Katanya, pelaksanaan program outreach vaksinasi Covid-19 pelancongan yang digerakkan sejak bulan lalu hingga akhir Ogos hanya ditumpukan di lima lokasi pulau peranginan dan tasik iaitu Pulau Kapas, Tasik Kenyir, Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Tenggol.
“Idea untuk mewujudkan PPV Pelancongan sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kesihatan, jika cadangan itu diterima baharulah kita akan mengemukakan butiran terperinci mengenainya termasuk lokasi dan lain-lain.
“Berdasarkan rekod, terdapat kira-kira 637 pekerja di lebih 200 hotel dan resort di negeri ini dengan segelintir premis berkenaan turut menawarkan khidmat kuarantin,” katanya kepada Utusan Malaysia di Pulau Redang baru-baru ini.
Menurut Fadli Yusof, sekiranya idea itu diluluskan, Terengganu bakal menjadi negeri pertama yang menyediakan kemudahan berkenaan untuk kakitangan hotel.
Bagaimanapun, katanya, jika cadangan tersebut tidak berjaya direalisasikan maka pilihan kedua yang akan diatur adalah dengan mengumpul nama-nama terlibat bagi dimasukkan ke dalam senarai penerima vaksin Covid-19 mengikut daerah masing-masing.- UTUSAN ONLINE