Enam ahli sindiket peras ugut seksual didakwa, mengaku tak bersalah

Enam ahli sindiket peras ugut seksual didakwa, mengaku tak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Enam ahli sindiket peras ugut seksual didakwa di dua Mahkamah Majistret berasingan di sini atas tujuh pertuduhan termasuk mengeksploitasi dan menghasilkan bahan lucah melibatkan remaja bawah umur.

Lima tertuduh, Sham Chee Fei, 33, Kuek Pei Lin, 19, Lee Chun Kit, 28, Tommy Voo Tze Hau, 27, dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim, Thalha Bachok.

Berdasarkan tiga pertuduhan, empat lelaki dan seorang wanita itu didakwa memperdagangkan remaja perempuan berusia 15 tahun dan remaja lelaki berusia 16 tahun serta seorang lelaki berusia 26 tahun bagi tujuan eksploitasi kerja di sebuah rumah di Jalan Lagenda 34, Taman Lagenda Putra, Kulai antara 23 Mac hingga 23 Mei lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun penjara dan boleh dihukum sebat, jika sabit kesalahan.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 12 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar pula, Pei Lin; Tze Hau dan remaja lelaki itu juga mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan lain menghasilkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak terhadap dua mangsa remaja yang sama dalam bentuk video dan gambar di lokasi sama pada pukul 6 petang, 22 Mei lalu hingga 5 pagi, 23 Mei lalu.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi ahli sindiket, Abdul Rahufur Rahim Idris, 30, turut mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara menyuruh mangsa remaja perempuan melakukan aktiviti bersifat seksual terhadap mangsa remaja lelaki di lokasi dan masa serta tarikh yang sama.

Dia didakwa di bawah Seksyen 15(f) AKSTK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Chun Kit juga mengaku tidak bersalah bagi satu lagi pertuduhan mempunyai bahan penganiayaan seksual kanak-kanak sebanyak dua keping gambar dan dua video dalam telefon bimbitnya di lokasi sama pada pukul 11.20 pagi, 20 Jun lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 10 AKSTK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir dan Nur Farah Wahida Shahudin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Muhammad Abd. Kadir; Gary Ng Boon Hui dan N. Moganeysha.

Kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin antara RM6,000 hingga RM35,000 setiap seorang berserta syarat tambahan, iaitu dilarang mengganggu saksi, melaporkan diri di balai polis sebulan sekali dan pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 13 Ogos, 14 Ogos dan 19 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN