90 anggota, pegawai polis di Kelantan turun berat badan

90 anggota, pegawai polis di Kelantan turun berat badan

MOHD. Ali Tamby (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang Biggest Losses Peringkat Kontinjen Kelantan di Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seramai 90 daripada 354 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan berjaya menurunkan berat badan dalam tempoh enam bulan bermula November 2024 hingga April lalu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, semua warga PDRM Kelantan yang berusia dalam lingkungan 45 tahun itu dikenal pasti berjaya mengurangkan indeks jisim badan (BMI) semasa Program Biggest Losses Peringkat Kontinjen Kelantan.

Katanya, program itu membantu warga PDRM Kelantan mencapai BMI yang ideal meningkatkan stamina dan daya tahan fizikal sekali gus mewujudkan budaya kerja sihat.

“Dalam konteks PDRM, BMI ideal bukan sekadar ukuran kesihatan, tetapi mencerminkan tahap kesiapsiagaan fizikal, imej profesionalisme dan keupayaan menjalankan tugas dengan efisien dalam setiap keadaan.

“Sepanjang program ini, terdapat anggota dan pegawai yang berjaya menurunkan berat badan malah ada juga tiada perubahan BMI,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Program Biggest Losses Peringkat Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mohd. Ali menyampaikan hadiah kepada Konstabel Mohd. Aiman Abdullah, 32, dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang yang dinobatkan juara Program Biggest Losses Peringkat Kontinjen Kelantan apabila berjaya menurunkan berat badan sehingga 27.8 kilogram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN