PN Johor desak UMNO negeri pula bersuara - Utusan Malaysia

PN Johor desak UMNO negeri pula bersuara

DR. Sahruddin Jamal (kanan) turut membantu memberi suntikan kepada penerima vaksin ketika melawat PPV Dewan Jubli Intan Muar di Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: UMNO Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad didesak untuk membuat keputusan segera sama ada masih meneruskan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau tidak.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, keputusan itu amat penting kerana akan memberi impak kepada pentadbiran kerajaan negeri selepas ini.

Katanya, buat masa ini, kerjasama dengan UMNO Johor masih diteruskan dalam konteks kerajaan negeri sehinggalah mendapat apa-apa arahan daripada pucuk pimpinan tertinggi parti.

“Kita sebenarnya sedang menunggu kenyataan terkini daripada UMNO Johor tetapi sehingga kini UMNO Johor masih berdiam diri tidak memberi apa-apa kenyataan. 

“Setakat hari ini, kerjasama dengan UMNO Johor masih diteruskan. Dalam masa sama kita turut mendesak UMNO Johor memberi keputusan sama ada mereka akan teruskan menyokong Tan Sri Muhyiddin atau tidak,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Jubli Intan Muar, di sini hari ini.

Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat pengumuman secara maya tentang penarikan sokongan terhadap PN selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).

Sementara itu, Dr. Sahruddin yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor berkata, parti itu dan PN negeri akan menghantar surat kepada pucuk pimpinan memohon menolak kerjasama dengan Ahli Parlimen Pengerang dan Pontian yang telah menyatakan pendirian mereka.

Datuk Seri Azalina Othman Said dan Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini mengumumkan menyokong keputusan dibuat MT UMNO yang turut menolak kepimpinan Muhyiddin.

“Memandangkan kedua-dua Ahli Parlimen itu menyatakan pendirian menolak sokongan kepada Perdana Menteri, jadi kita Bersatu Johor akan menolak kerjasama dengan mereka.

“Soal kerjasama dengan UMNO pula, sekiranya Pusat arahkan kita menarik sokongan, kita akan tarik sokongan. Tetapi apa pun masyarakat kena faham bahawa kita kena berkhidmat untuk rakyat.

“Peperangan sekarang ini adalah dengan Covid-19, bukanlah peperangan untuk mencari kekuasaan. Kita kena bantu rakyat seramai mungkin bagi menerima vaksin untuk mencapai imuniti kelompok,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN