PN harus bertanggungjawab atas kegagalan urus Covid-19 - Utusan Malaysia

PN harus bertanggungjawab atas kegagalan urus Covid-19

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penularan wabak Covid-19 adalah berpunca daripada ketidakcekapan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menguruskan pandemik dan kerjasama dengan kesemua ahli politik walaupun darpadai blok pembangkang bukan satu penyelesaian.

Bercakap dengan Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan PN sudah lama mendapat peluang untuk mentadbir negara tanpa proses semak dan imbang apabila Darurat diisytihar.

“Ia bukan soal pembangkang tidak bersedia dan mengetepikan soal politik dan bersama-sama berganding bahu dengan kerajaan untuk menyelesaikan isu Covid-19. Persoalan itu tidak timbul kerana pembangkang juga adalah warga negara yang bertanggungjawab dan merupakan ahli Dewan dan mereka menjalankan peranan mereka dalam Dewan Rakyat.

“Sekarang adalah masanya melihat prestasi kerajaan setelah memiliki kuasa penuh tanpa semak dan imbang. Kenapa keadaan menjadi semakin buruk, kerajaan tidak kompeten dalam menguruskan negara sehingga menyebabkan rakyat sangat terjejas malah kini telah mengundang kemurkaan Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya ketika dihubungi semalam.

Tambah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu, kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta supaya pembangkang bekerjasama membantu kerajaan perangi wabak Covid-19 tidak seiring dengan tindakan menutup fungsi Parlimen.

“Kerajaan PN mempunyai kuasa penuh dalam urus tadbir negara sejak dari Darurat yang bermaksud tiada semak imbang, perbelanjaan dikeluarkan tanpa melalui Parlimen dan kemudian dalam usaha untuk melawan Covid-19, kerajaan boleh membuat semua dasar dan peraturan. Ketika itu, parti pembangkang sepenuhnya menyerah kepada kerajaan untuk menguruskan negara,” katanya.

Dalam nada sama, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan lupa bahawa dari awal lagi pembangkang sudah menawarkan kerjasama.

“Selama setahun ini, apa kerajaan PN buat? Pada awalnya, menteri-menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Harapan tidak dijemput hadir mesyuarat, data kes Covid-19 tidak dikongsikan sehingga baru-baru ini, peruntukan pun tidak setara dan idea-idea kita tidak dilaksana, waima Parlimen tempat kita bincang isu rakyat pun digantung, bila dibuka pun buat separuh jalan.

“Dalam keadaan kerajaan sudah gagal, dengan kes positif dan kematian melambung tinggi, ekonomi rakyat sedang tenat, langkah paling afdal ialah pimpinan kerajaan berundur dengan terhormat dan serahkan kepada pemimpin yang lebih layak. Lebih-lebih lagi apabila Perdana Menteri sendiri sudah hilang majoriti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×