GEORGETOWN: Sokongan dan doa ahli keluarga, saudara-mara dan masyarakat sekeliling menjadi sumber kekuatan kepada pesakit Covid-19 melawan virus itu terutama yang berada pada tahap empat dan lima.
Bekas pesakit Covid-19 tahap lima, Zambri Mohd. Isa, 42, berkata, dia hanya mengingati saat kematian sejurus dimaklumkan mengenai tahap kesihatan yang semakin kritikal sehingga terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) awal Julai lalu.
Cerita Zambri yang juga seorang peguam, kandungan oksigen di dalam badan yang semakin rendah daripada bacaan normal 95 kepada 78 menyebabkan dia berdepan kesukaran untuk bernafas seperti biasa.
“Semuanya berlaku selepas saya mengalami demam panas yang berlarutan sehingga mencecah 40 darjah selsius selama lapan hari beserta sakit tekak sejak 1 Julai lalu.
“Saya menjalani kuarantin di rumah sebaik sahaja mendapat keputusan ujian calitan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) positif Covid-19 pada 3 Julai lalu dan keadaan kesihatan selepas itu menjadi bertambah teruk sehingga saya tidak mampu berdiri dan badan terus lemah.
“Saya telah dimasukkan ke Wad Kecemasan Hospital Selayang pada 9 Julai dan keadaan di situ penuh dengan pesakit sehingga saya terpaksa tidur di tempat usungan selama kira-kira 18 jam sebelum dipindahkan ke wad biasa,” ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menceritakan detik menakutkan ketika ditempatkan di wad ICU selama tiga hari, beritahu bapa kepada tiga cahaya mata itu, keluarga terutama isteri dan anak-anak menjadi pembakar semangat kepadanya untuk bertahan selain doa saudara-mara, rakan dan jiran.
“Saya belum sampai tahap ditidurkan, namun, badan penuh dengan wayar serta bantuan pernafasan. Memang tidak dinafikan yang saya amat takut dengan virus itu dan hanya memikirkan tibanya ajal.
“Saya sedih dan sudah hilang kata-kata, fikiran tertumpu pada anak-anak yang masih kecil dan bersekolah. Mereka memerlukan kasih sayang seorang bapa. Pelbagai persoalan bermain di fikiran,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, keadaan kesihatannya bertambah pulih selepas dua minggu menerima rawatan di hospital berkenaan dan dibenarkan pulang ke rumah 21 Julai lalu.
“Sehingga kini, saya masih terasa lemah akibat virus tersebut sehingga memberi kesan pada bahagian paru-paru.
“Apapun, saya bersyukur kerana diberi kesembuhan seperti sediakala dan dapat pulang ke rumah bertemu insan tersayang,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE









