KUALA TERENGGANU: Waris kepada penghantar makanan orang kelainan upaya (OKU) yang maut dalam kemalangan di Jalan Tengku Mizan, Kuala Nerus pada minggu lalu terharu menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Walaupun Allahyarham Nik Muhammad Haikal Nik Zulkifli, 18, yang merupakan OKU pekak dan bisu baru setahun bekerja sebagai penghantar makanan, warisnya layak menerima faedah di bawah skim keselamatan sosial tersebut.
Pengarah Perkeso negeri, Farihah Che Husin berkata, semakan mendapati Nik Muhammad Haikal merupakan pencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang baharu diperluaskan kepada pekerja sektor penghantaran makanan dan perkhidmatan pada tahun lalu.
“Waris Allahyarham layak menerima faedah pencen penakat sebanyak RM1,119 sebulan yang akan disalurkan menerusi bapanya, Nik Zulkifli Nik Abd. Kadir, 60.
“Selain itu, Perkeso juga melunaskan faedah pengurusan mayat sebanyak RM2,000 kepada keluarga Allahyarham,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mangsa di Kampung Gong Tok Nasek di sini hari ini.
Faedah pengurusan mayat Perkeso tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. -UTUSAN ONLINE










