JOHOR BAHRU: Seorang penjawat awam dan seorang pegawai eksekutif wanita di sebuah badan berkanun bersekongkol dengan kumpulan jenayah terancang untuk menyeludup ganja dari negara jiran bagi pasaran di bandar raya ini.
Kegiatan sindiket yang mula aktif sejak Disember 2019 itu tumpas setelah 10 ahli sindiket berkenaan dicekup polis dalam tujuh serbuan berasingan pada operasi khas di kawasan Kulai dan Johor Bahru Utara, 8 Ogos lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi yang diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Johor melancarkan beberapa siri serbuan bermula pukul 9.45 pagi.
Katanya, modus operandi sindiket itu dengan menyeludup dadah menggunakan lori sejuk beku yang telah diubah suai sebagai penyamaran membawa bekalan dadah itu dari Kota Bharu, Kelantan ke Johor Bahru.
Jelasnya, dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran sebelum lolos ke negara ini melalui sempadan negeri Pantai Timur.
“Hasil pemeriksaan mendapati sindiket ini menggunakan surat rentas negeri membabitkan penghantaran produk makanan sejuk beku bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lori yang digunakan bagi mengambil bekalan dadah itu diubahsuai dengan mempunyai ruangan simpanan khas di lantai ruangan belakang lori berkenaan.
“Kesemua yang ditahan berusia 26 hingga 48 tahun mempunyai peranan masing-masing. Ada yang bertindak sebagai penghantar, penjaga stor, pengurus kewangan serta individu yang menguruskan logistik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, dalam serbuan pertama, dua suspek lelaki berusia 36 dan 48 tahun ditahan bersama sejumlah dadah jenis ganja sebelum polis membuat lima lagi serbuan dan menahan seramai lima lagi individu termasuk seorang wanita berusia 28 hingga 45 tahun.
“Tiga lagi suspek lelaki berusia antara 26 hingga 28 tahun turut ditahan dalam satu serbuan susulan menjadikan jumlah yang ditahan membabitkan 10 suspek.
“Dalam siri serbuan itu, polis berjaya merampas 175.65 kilogram (kg) dadah jenis ganja membabitkan 174 ketulan bernilai RM441,163 dengan tertangkapnya ahli sindiket pengedaran dadah itu,” katanya.
Dalam serbuan sama, polis turut merampas dua lori, enam kereta, dua motosikal, wang tunai berjumlah RM45,550, pelbagai barang kemas bernilai RM16,076 selain menyita sebuah akaun bank bernilai RM6,972.
Katanya, daripada 10 suspek yang ditahan lapan didapati positif dadah, manakala tujuh mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Kesemua mereka direman 14 hari bermula 9 Ogos lalu dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.-UTUSAN ONLINE