KAMPAR: Masih ada pengusaha industri pelancongan di negeri ini yang belum sedia untuk menerima pelancong meskipun aktiviti pelancongan dalam negeri dibenarkan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, perkara itu disebabkan beberapa faktor antaranya ialah tiada program vaksinasi untuk para pekerja.
“Mereka tidak bersedia untuk menerima pelancong disebabkan masalah vaksinasi dalam kalangan para pekerja dan juga peraturan-peraturan untuk sanitasi belum dapat dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pogram Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) Bersama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah di Kampung Changkat Tin di sini hari ini.
Nolee Ashilin mengingatkan pengusaha industri pelancongan terutamanya yang terlibat dalam perkhidmatan penginapan agar memastikan mereka bersedia sepenuhnya sebelum menerima pelancong.
“Apabila kerajaan memberi kelonggaran membuka semula sektor industri pelancongan, ia juga bermaksud tanggungjawab lebih diberikan kepada pengiat industri dengan memastikan kelonggaran yang diberikan itu tidak memudaratkan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Menurut Nolee Ashilin, dalam masa sama, pelancong juga perlu memainkan peranan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan agar tiada wujud kluster dari sektor pelancongan di negeri ini.
Katanya, jika ada kes atau kluster akibat aktiviti pelancongan, ini tentunya akan memberi impak kepada kebenaran merentas daerah bagi tujuan pelancongan.
“Cukup penting untuk kita semua memainkan peranan memastikan tangungjawab kita dipenuhi,” katanya.
Sementara itu, mengenai program MOVAK di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah, Nolee Ashilin berkata, seramai 1,200 orang penduduk menerima vaksin pada program itu yang diadakan dua hari. – UTUSAN ONLINE