PETALING JAYA: Tiada istilah siapa yang lebih bagus antara ahli politik dan ahli profesional dalam pelantikan jawatan sebagai pengerusi di syarikat milik kerajaan (GLC).
Pensyarah kanan, Politik Dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, ini kerana tiada data atau bukti menunjukkan kepemimpinan yang mana lebih bagus.
Katanya, setiap ahli politik dan ahli profesional mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing kerana tugas yang digalas hanya memerlukan bersikap profesional dan dijalankan dengan tadbir urus yang baik.
“Ada juga ahli profesional atau ahli politik tidak bersesuaian kerana datang daripada berlainan bidang, jika dalam bidang yang sama sekalipun tidak semestinya bagus dalam bidang pengurusan bagi mempengerusikan mesyuarat untuk membuat keputusan.
“Namun, kelebihan kepada ahli politik kerana mempunyai kerjasama yang lebih erat bersama pemerintah namun itu juga boleh menimbulkan keburukan jika berlakunya isu manipulasi dalam jawatankuasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Beliau mengulas gesaan pihak tertentu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak melantik bekas menteri dan ahli Parlimen kerajaan sebagai pengerusi GLC ekoran pertukaran pucuk pimpinan negara.
Dalam pada itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi pula berkata, pengerusi GLC lebih sesuai dilantik dalam kalangan ahli profesional.
Katanya, pelantikan ahli profesional bersesuaian dengan pembaharuan tadbir urus GLC dengan ramai lagi ahli profesional di negara ini berkelayakan dan lebih mengetahui dalam urusan tersebut.
“Sekiranya Perdana Menteri bertekad untuk melantik ahli di luar bidang politik iaitu golongan ahli profesional, saya kira ini boleh dilakukan dengan komitmen bagi memastikan tadbir urus yang lebih baik,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










