PONTIAN: Penutupan gimnasium ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak diketahui bila penghujung menyebabkan pengusahanya bingung memikirkan masa depan mereka bagi meneruskan kehidupan harian.
Mereka sangat berharap diberikan peluang bagi meneruskan aktiviti itu kerana telah melabur ratusan ribu ringgit bagi membeli peralatan, deposit premis dan pengambilan pekerja.
Pemilik Gym Brother Hood, Mohd. Isa Ahmad, 36, berkata, gimnasium yang baru beroperasi tiga tahun diusahakannya terpaksa akur dengan arahan pihak berkuasa yang tidak membenarkan fasiliti itu beroperasi ketika ini.
“Walaupun tidak dibenarkan beroperasi, namun kos sewa rumah kedai sebanyak RM1,000 sebulan tetap berjalan tanpa ada pengurangan daripada pemiliknya.
“Kami mengenakan bayaran bulanan sebanyak RM50 atau harian RM5 tanpa dihadkan waktu bermula dari pukul 8 pagi hingga 10 pagi dan 1 petang hingga 12 malam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jalan Mohd. Salleh, semalam.
Menurut Mohd. Isa, gimnasiumnya juga menjadi tempat bagi atlet di daerah Pontian untuk meningkatkan kecergasan mereka sama ada untuk menyertai pertandingan peringkat daerah mahupun peringkat negeri.
Katanya, bagi mengisi masa lapang dan mencari pendapatan gantian, dia terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan sampingan termasuk menjual buah durian yang digunakan bagi membayar sewa bangunan.
“Kerugian yang ditanggung apabila gimnasium tidak beroperasi selama empat bulan telah mencecah kira-kira RM10,000,” katanya.
Tambah Mohd. Isa yang juga seorang jurulatih, gimnasiumnya kini mempunyai seramai 50 ahli dengan kehadiran 20 orang pada satu-satu masa bagi tujuan membentuk badan atau menguruskan badan.
Bagi pengguna, Ady Ramli Mustafa, 45, berkata, dia yang mengikuti program membina badan kecewa kerana sudah tidak dapat mengikuti aktiviti tersebut.
Katanya, bagi mereka yang selalu menjalankan aktiviti kecergasan seperti itu, penutupan gimnasium memberikan kesan untuk mereka mencapai tahap badan yang diidamkan selama ini.
“Kita bukan nak menjadi ahli bina badan tetapi cukup untuk memiliki badan seakan mereka, dalam masa yang sama menjaga kesihatan badan dan menghindarkan diri dari sebarang penyakit,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE