KOTA KINABALU: Peguam yang terlibat dalam isu menghina komuniti Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) diarah membayar denda atau sogit tujuh ekor kerbau kepada komuniti KDMR.
Dalam satu majlis ringkas hari ini, peguam Marcel Jude Joseph memaklumkan Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan bahawa beliau bersetuju menyelesaikan perkara itu dengan ‘sogit’ iaitu tujuh ekor kerbau kepada komuniti KDMR menerusi KDCA dalam tempoh 14 hari.
Jeffrey, yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, Marcel juga diwajibkan mengemukakan permohonan maaf setengah muka surat dalam akhbar tempatan pilihannya.
“Persetujuan ini akan didaftar di Mahkamah Adat Penampang dan kedua-dua pihak juga bersetuju untuk tidak mencabar terma perjanjian itu di mana-mana mahkamah di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Pertanian dan Perikanan ini berkata, bagi pihak KDCA dan semua yang berkaitan dengan pertubuhan ini, mereka bersetuju untuk tidak membawa isu ini ke mahkamah kerana perkara ini sudah selesai.
Justeru itu, Jeffrey menyarankan komuniti KDMR di Sabah agar tidak lagi membangkitkan isu ini kerana perkara tersebut sudah pun berlalu.
Marcel turut menzahirkan permohonan maaf terhadap komuniti KDMR kerana beliau tidak berniat menyakiti mana-mana pihak dengan kenyataan yang dibuat sebelum ini.
Pada 14 Jun, Marcel mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada komuniti KDMR kerana hujahnya di mahkamah yang menyamakan pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau dengan persembahan lembu eksotik dan acara lelong.
Penghujahan itu dibuat selaku peguam bela kepada pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang didakwa mencabul salah seorang peserta Unduk Ngadau. -UTUSAN ONLINE