ALOR SETAR: Pasar Besar Alor Setar ditutup selama empat hari bermula hari ini selepas terdapat beberapa peniaga dan pekerja di pasar itu disahkan positif Covid-19.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zaid Ahmad berkata, arahan penutupan pasar itu dikeluarkan selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan semalam.
Katanya, tindakan yang diambil itu juga bertujuan mengekang penularan Covid-19 di pasar berkenaan.
“Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan menguruskan saringan ujian Covid-19 dalam kalangan peniaga dan pekerja di pasar itu.
“Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah telah ke pasar berkenaan untuk melakukan saringan ujian COVID-19 pagi semalam, namun, tidak mendapat sambutan, hanya beberapa orang sahaja yang melakukan saringan terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau memberitahu, proses sanitasi juga akan dilakukan pada sepanjang tempoh pasar besar itu ditutup.
Sementara itu, Pengerusi Pasar Besar Alor Setar, Mohd. Fauzi Sharip berkata, pihaknya berharap rakan peniaga dan pekerja di pasar itu yang menjadi kontak rapat kepada individu yang positif Covid-19 dapat melakukan saringan ujian Covid-19.
Katanya, jumlah keseluruhan peniaga dan pekerja di pasar itu dianggarkan seramai 400 orang.
“Diharapkan peniaga dan pekerja di pasar ini dapat memberi kerjasama dengan melakukan ujian saringan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd. Fauzi berkata, pihaknya berharap JKN dapat memberi suntikan vaksin kepada peniaga dan pekerja di pasar berkenaan berikutan majoriti mereka belum divaksin. -UTUSAN ONLINE