MUAR: Dua lelaki ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di kawasan belakang asrama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kedua-dua lelaki warga tempatan itu ditahan ketika menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) pada pukul 10.23 pagi.
“Mereka ditahan apabila pasukan rondaan cegah jenayah dari Balai Polis Panchor mengesan pergerakan mencurigakan sebelum bertindak menahan sebuah MPV jenis Perodua Alza.
“Ketika ditahan, tiga lelaki yang berada dalam kenderaan berkenaan bertindak melarikan diri
Bagaimanapun, hasil tindakan pantas polis, dua daripada mereka berjaya diberkas sementara seorang lagi suspek telah dikenal pasti dan sedang dikesan oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Raiz Mukhliz, siasatan mendapati kedua-dua lelaki yang berusia 24 dan 25 tahun itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau serta didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
Kes disiasat bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya.
Tambah beliau, kes juga disiasat bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat terhadap perkhidmatan awam (seperti kabel telekomunikasi) dan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 iaitu kesalahan mengambil dadah berbahaya boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya,”ujarnya. – UTUSAN









