CYBERJAYA : Pelbagai tawaran tambah nilai pakej khas untuk kemudahan rakyat disediakan industri telekomunikasi dan penyiaran sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan berkata, antara tawaran menarik ialah pakej peranti RM1 Malaysia Prihatin bagi membolehkan semua rakyat memiliki atau menaik taraf pelbagai peranti mudah alih yang menyokong 4G dan VoLTE bermula RM1.
SKMM berkata, syarikat telekomunikasi yang akan mengambil bahagian dalam tawaran itu ialah Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL yang antara lain turut menawarkan lanjutan pemberian data harian sebanyak 1GB secara percuma kepada semua pengguna perkhidmatan sehingga 31 Disember depan.
“Pihak YTL pula akan melanjutkan inisiatif Learn From Home (LFH) sehingga 31 Disember depan dalam menyokong sistem pendidikan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, SKMM berkata, sokongan berterusan bagi pakej Jaringan Prihatin juga dilanjutkan sehingga 30 September depan untuk golongan B40.
“Lebih menarik, pemberian akses tontonan secara percuma beberapa saluran premium terpilih oleh syarikat penyiar swasta seperti Astro dan Unifi kepada pelanggan mereka.
“Astro juga menyediakan saluran percuma, Astro 25 di saluran 100 yang akan menyajikan kandungan tempatan berkisar kepada pengorbanan, semangat patriotik serta kejayaan yang telah negara kecapi,” katanya.
Katanya, pakej-pakej yang ditawarkan dijangka memberi kemudahan dan manfaat kepada rakyat untuk menghadapi perubahan norma baharu dalam pendidikan, pekerjaan di samping meringankan beban perbelanjaan para pengguna.- UTUSAN ONLINE










