Nostalgia abadi kanak-kanak 10 tahun - Utusan Malaysia

Nostalgia abadi kanak-kanak 10 tahun

MOHD. SHAHAIMI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Upacara menurunkan bendera Union Jack dan menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu pada 30 Ogos 1957 serta pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu 1957 merupakan dua nostalgia abadi buat individu bertuah, Datuk Mohd. Shahaimi Othman.

Sewaktu menyaksikan peristiwa bersejarah itu, Mohd. Shahaimi, pada ketika itu baru berusia 10 tahun.

Menceritakan detik berharga tersebut kepada Utusan Malaysia, beliau yang kini berusia 74 tahun berkata, dia mengikuti ayahnya, Othman Awang merupakan Ke­tua Pemuda UMNO negeri pada ketika itu yang diminta hadir dua majlis bersejarah berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, mereka menginap di Hotel Merdeka Kuala Lumpur yang masih wujud ketika ini selama dua hari bagi menyertai peristiwa penting ke­wujudan negara baharu, Persekutuan Tanah Melayu.

MOHD. SHAHAMI Othman turut menyaksikan upacara menurunkan bendera Union Jack dan menaikkan bendera Persekutuan di Padang Kelab Selangor pada 30 Ogos 1957. – Utusan/ARKIB NEGARA

“Pada pemerhatian waktu itu, saya seorang sahaja kanak-kanak ketika dapat menyaksikan sejarah negara kerana tidak melihat seorang pun rakan sebaya.

“Walaupun pada ketika itu hanya berusia 10 tahun tetapi saya dapat mengingati setiap gerak peristiwa bersejarah yang berlaku seperti penggantian bendera negara, lagu Kebangsaan British dimainkan sebaik sahaja bendera Union Jack diturunkan.

“Antara tokoh yang saya kenali hadir pada waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Datuk (Tun) Abdul Razak Hussein dan Sardon Jubir yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Persekutuan Tanah Melayu.

“Ketiga-tiga tokoh itu saya kenali kerana sering mengikut ayah berkempen menarik orang Melayu menganggotai UMNO, sesekali dapat berjumpa secara langsung tokoh hebat itu,” katanya di sini semalam.

Mohd. Shahaimi berkata, peristiwa kemuncak yang tidak mungkin dilupakan selagi usia dikandung badan ialah pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

“Kami berjalan kaki bermula pukul 6.30 pagi dari Hotel Merdeka dalam keadaan hujan lebat beberapa kilometer ke Stadium Merdeka berikutan laluan kenderaan ke situ telah ditutup.

“Stadium Merdeka penuh dengan orang ramai dari seluruh pelosok Tanah Melayu hadir bagi menyaksikan penubuhan negara baharu.

“Saya dan bapa duduk berhampiran tempat berbumbung merasakan aura dan semangat kebangsaan orang Melayu ketika itu dapat keluar daripada cengkaman penjajah,” katanya.

Beliau berkata, pada ketika itu, semua Raja Melayu dan pemimpin luar negara hadir termasuk Sultan Pahang, Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Muadzam Shah seorang raja berjiwa rakyat yang gemar menyantuni rakyatnya di pelosok negeri.

“Masih terngiang-ngiang di telinga saya laungan merdeka sebanyak tujuh kali oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Me­layu, Tunku Abdul Rahman yang disambut oleh orang ramai.

“Saya lihat ramai orang menangis dan mengalirkan air mata gembira termasuk ayah saya yang teresak-esak setelah ‘perjuangan kecilnya’ dengan pengakhiran yang menggembirakan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini