JOHOR BAHRU: Inisiatif Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengadakan kerjasama rentas politik dilihat tepat pada masanya dan berupaya untuk mengakhiri kemelut politik tanah air.
Bendahari Majlis Ayahanda Malaysia (Masia), Zamrin Hamzah berkata, sehubungan itu, semua pihak terutama pembangkang wajar menerima tawaran itu dengan tangan terbuka demi kepentingan rakyat dan negara.
Menurutnya, Perdana Menteri berjiwa besar apabila memberi tawaran tersebut walaupun tahu akan dikecam pembangkang.
“Demi rakyat dan negara, kerajaan Perikatan Nasional (PN) rela berkongsi kuasa dengan pembangkang dalam usaha memerangi Covid-19.
“Saya amat bersimpati dan teruja dengan kepemimpinan Perdana Menteri. Belum ada pemimpin seperti ini yang sanggup berkorban dalam mendepani masalah rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Muhyiddin menawarkan untuk menjalin kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.
Beliau dilaporkan berkata, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen dan mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.
Mengulas lanjut, Zamrin turut memberitahu, masyarakat khususnya pembangkang perlu maklum bahawa pandemik Covid-19 adalah wabak alaf baharu yang melanda seluruh dunia.
“Adalah tidak wajar kesalahan diletakkan pada bahu kerajaan PN kerana semua kerajaan di dunia masih berperang dengan pandemik itu, malah, belum satu pun yang sudah berjaya.
“Perdana Menteri berusaha untuk melakukan vaksinasi terhadap 35 juta rakyat negara ini sebagai langkah pencegahan Covid-19.
“Saya lihat beliau tabah dan cekal menghadapi cabaran ini. Semoga Malaysia kembali kepada landasan yang betul dengan pemulihan ekonomi negara,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE










