LUMUT: Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang pada kedudukan lebih kurang 1.3 batu nautika barat daya Tanjung Hantu, di perairan Tanjung Hantu, Segari dekat sini petang tadi.
Mangsa, Amat Beramsah, 80, adalah warga tempatan yang dipercayai dari Pulau Pangkor.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, sebaik sahaja menerima laporan daripada Maritime Rescue Sub – Centre (MRSC) Langkawi, bot ronda Petir 80 segera diatur gerak ke titik koordinat aduan bagi melaksanakan Op mencari dan menyelamat (Carilamat) pada pukul 2.20 petang.
“Bot mangsa ditemui oleh nelayan tempatan tanpa pengemudi kira-kira pukul 11 pagi tadi di sekitar kawasan aduan.
“Situasi itu seterusnya disalurkan oleh pengadu kepada MRSC Langkawi bagi membuat laporan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurut Shahrizal, Maritim Malaysia akan menyalurkan maklumat dari masa ke semasa di dalam usaha Op Carilamat tersebut di samping penglibatan aset – aset pasukan agensi yang lain.
Jelasnya, Op Carilamat itu bagaimanapun ditangguhkan malam ini dan akan bersambung esok pagi.
Beliau meminta orang awam untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737. – UTUSAN ONLINE