SHAH ALAM: Perdana Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dikekalkan sebagai Perdana Menteri bagi memastikan agenda memerangi Covid-19 serta memulihkan ekonomi negara terus berjalan lancar.
Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN) Selangor Dr. Daroyah Alwi berkata, Muhyiddin serta ahli kabinetnya telah melakukan perancangan rapi setelah menjadi Kerajaan Pusat supaya Malaysia boleh daripada dua kemelut ini.
“Nafas yang baharu mula dihela oleh barisan hadapan negara apabila usaha mereka selama ini semakin memperlihatkan hasilnya kini sesak kembali dek kerana politikus yang gilakan kuasa.
“Justeru, kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dikekalkan demi memulihkan negera mengikut perancangan asal Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Muhyiddin pada hari ini telah memaklumkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi satu surat yang dipersembahkan kepada Seri Paduka di Istana Negara.
Lantaran itu, Seri Paduka dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkenan melantik beliau sebagai Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri baharu dipilih.
Dalam pada itu, beliau turut mengecam segelintir ahli politik yang mengambil kesempatan meskipun kerajaan PN dahulu bergelut hebat melawan penularan pandemik Covid-19 daripada terus meningkat.
Justeru, Daroyah meminta semua ahli politik menyelesaikan semua pertelingkahan supaya kemelut politik dapat distabilkan demi mengutamakan kesihatan, kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat serta pemulihan kembali ekonomi negara.
“Senyuman yang mula terukir setelah PPN diperkenalkan rupanya tidak lama, rakyat dipaksa untuk menunggu pula pelan baru yang akan diperkenalkan oleh pentadbiran yang akan datang.
“Dalam tempoh masa panjang yang diperlukan bagi penentuan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen untuk menamakan siapa Perdana Menteri dan pembentukan jemaah kabinet yang baharu, berapa ramaikah lagi rakyat yang perlu dikorbankan angkara penularan Covid-19?” soalnya.-UTUSAN ONLINE