MOTAC perhalusi cadangan tukar van pelancongan jadi ambulans - Utusan Malaysia

MOTAC perhalusi cadangan tukar van pelancongan jadi ambulans

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kini sedang memperhalusi inisiatif pengubahsuaian 100 buah van pelancongan untuk dijadikan ambulans di bawah Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley bagi membantu kes kecemasan membabitkan Covid-19 terutama di sekitar Lembah Klang. 

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara itu sedang dibincangkan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk melihat kaedah terbaik bagi merealisasikan cadangan yang dikemukakan.

Beliau berkata, permit van pelancongan bagi Semenanjung Malaysia adalah di bawah bidang kuasa APAD dan sebarang urusan yang melibatkan pengubahsuaian adalah tertakluk kepada kelulusan APAD.

Menurutnya, bagi Sabah, Sarawak dan Labuan pula, permit kenderaan pelancongan dikeluarkan oleh kementeriannya di bawah Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594). 

“Permit oleh APAD hanya dikeluarkan untuk pengusaha van pelancongan yang merupakan syarikat agensi pelancongan yang dilesenkan oleh kementerian di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.

“Syarikat tersebut perlu mempunyai lesen pengendali pelancongan dalam negeri (inbound) terlebih dahulu sebelum boleh memohon kepada APAD,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nancy berkata, MOTAC juga akan merujuk dengan pihak persatuan berkenaan bagi melihat kriteria yang menepati spesifikasi bersesuaian dengan keperluan pihak APAD bagi tujuan pelaksanaan.

Katanya, satu perbincangan lebih lanjut dengan pihak Kementerian Kesihatan juga akan dibuat berhubung kaedah pelaksanaan ambulans daripada van pelancongan ini. -UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya