KLANG: Setiap orang mesti mempunyai cara tersendiri untuk menyambut Hari Kemerdekaan negara, begitu juga dengan sebuah keluarga yang menjadikan sambutan itu sebagai perayaan tahunan sejak lebih 20 tahun.
Keluarga Jainal Liman, 59, menjadikan sambutan kemerdekaan sebagai perayaan setiap tahun dengan memastikan kediaman mereka dihiasi dengan Jalur Gemilang dan bendera Selangor.
Malah, kali ini lebih 100 bendera pelbagai saiz menghiasi bahagian dalam dan halaman rumah menunjukkan semangat patriotik yang dipupuk dari dalam keluarga sebagai tanda cintakan tanah air.
Selain menghiasi rumah dengan bendera, Jainal juga memaklumkan pada malam ambang merdeka, mereka sekeluarga akan menikmati jamuan sambil menyaksikan percikan bunga api yang diadakan.
“Sambutan hari merdeka jadi salah satu cara untuk kami sekeluarga mengeratkan silaturahim sesama ibu bapa dan anak-anak. Kita gotong royong sama-sama hias rumah dengan bendera dari bahagian jambatan masuk sampailah di halaman rumah.
“Kemudian pada waktu malam 30 Ogos pula, kita akan bakar bunga api untuk disaksikan sambil menikmati jamuan yang keluarga sendiri sediakan seperti ikan bakar, ayam panggang dan pelbagai juadah lain. Ini memang acara wajib kami adakan sejak 20 tahun lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Johan Setia di sini.
Tambahnya lagi, pada hari 31 Ogos pula, menjadi kelaziman anak-anaknya akan menyertai kumpulan anak muda untuk berkonvoi meronda dengan kenderaan seperti motoisikal, kereta dan basikal yang dihiasi dengan bendera jalur gemilang.
Bagaimana pun, kali ini acara itu tidak dapat dilakukan ekoran kebimbangan penduduk tempatan terhadap penularan wabak pandemik Covid-19, lebih-lebih lagi kawasan berhampiran kampung itu pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) baru-baru ini.
Menurut Jainal lagi, Kampung Johan Setia merupakan antara kampung yang meriah dengan sambutan kemerdekaan apabila banyak Jalur Gemilang dilihat mula menghiasi bahu jalan utama serta rumah penduduk setempat.
“Lebih meriah, ada juga peniaga yang memeriahkan gerai mereka sampai 30 hingga 50 bendera Selangor dan Jalur Gemilang untuk menaikkan semangat patriotik selain menarik perhatian pelanggan untuk singgah.
“Cuma, tahun ini mungkin agak lewat sedikit hiasan bendera dilakukan oleh penduduk kampung, malah saya sendiri pun biasanya pada awal bulan Ogos sepatutnya sudah mula hias rumah. Tetapi disebabkan stok bendera cepat sangat habis, mungkin tak banyak kedai jual bendera,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










