PETALING JAYA: Beberapa minit sebelum berlangsungnya pendengaran kes semakan kehakiman oleh Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) terhadap Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), rayuan pendaftaran parti itu ditolak oleh Menteri Dalam Negeri.
Menurut Naib Presiden Parti MUDA, Lim Wei Jiet, keputusan itu dimaklumkan peguam persekutuan sebelum pendengaran kes yang sepatutnya berlangsung pada jam 12 tengah hari semalam.
Katanya, tiada sebarang alasan diberikan berkenaan penolakan rayuan MUDA untuk didaftarkan dan pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkembangan itu, disebabkan itu, pendengaran ditunda ke 18 Ogos.
“Barisan penaja MUDA dimaklumkan melalui kiriman e-mel daripada ROS bahawa Menteri Dalam Negeri menolak rayuan Muda untuk didaftarkan. Tiada sebarang alasan diberikan.
Beliau menambah, MUDA kesal keputusan Menteri Dalam Negeri itu kerana pihaknya sudah memberikan kerjasama penuh kepada Menteri Dalam Negeri dan ROS.
Katanya, segala isu berkaitan perlembagaan ataupun dokumentasi pendaftaran telah dibincang bersama ROS dan segala pindaan telah dilaksanakan.
“Muda memfailkan pendaftaran pada 17 September 2020 dan rayuan kepada menteri dibuat enam bulan lepas pada 4 Februari 2021, namun keputusan menolak rayuan MUDA dimaklumkan beberapa minit sebelum perbicaraan bermula.
“Keputusan Menteri Dalam Negeri itu menunjukkan pihak berkuasa hanya ingin melengahkan pendaftaran Muda untuk seberapa lama yang mungkin,” katanya dalam kenyataan itu.
Tambah beliau, MUDA mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri di Mahkamah dalam masa terdekat, dan berharap akan mendapat keadilan yang sewajarnya.- UTUSAN ONLINE










