MELAKA: Kerajaan negeri memperuntukkan RM9 juta bagi tujuan pengawalan hakisan dan mitigasi banjir di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar, Pengurusan Banjir dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata, kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sebanyak RM350 juta untuk tebatan banjir bagi seluruh negeri ini berbentuk sistem takungan air.
Jelas beliau, sistem tersebut akan berfungsi sebagai kolam simpanan air apabila berlakunya musim kemarau serta bertindak sebagai penahan dan takungan banjir ketika musim hujan.
“Saya mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan tiga kejadian banjir yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh iaitu sekali pada Mac dan dua kali pada Mei tahun ini. Banjir berlaku disebabkan limpahan air hujan daripada kolam tebatan banjir Sungai Putat dan saliran di sekitarnya.
“Setiap jabatan dan agensi menyampaikan taklimat sementara wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang hadir turut bertanyakan soalan dan juga ada yang memberikan cadangan penyelesaian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman.
Pada Mei lalu, beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air banjir berikutan hujan lebat.
Antara kawasan yang terlibat di Bukit Beruang adalah Taman Melawis, Taman Kerjasama, Taman Bukit Beruang Utama dan Kampung Sungai Putat.
Lokasi lain yang turut dinaiki air adalah Taman Rambai Jaya dah Taman Rambai Indah manakala di Durian Tunggal melibatkan Kampung Padang Keladi dan Kampung Bukit Balai. -UTUSAN ONLINE