LIPIS: Bekas home guard, Mat Ariffin Mat Deris, 98, antara insan yang masih menyimpan banyak kenangan bermula sejak zaman pendudukan Jepun, era Darurat 1948 sehinggalah negara mengisytihar proklamasi Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Warga emas yang tinggal di Kampung Tanjung Buluh, dekat Kerambit kira-kira 25 kilometer dengan bandar Kuala Lipis mungkin merupakan bekas home guard yang masih hidup, berbanding rakan lain sudahpun lama meninggal dunia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mat Ariffin berkata, usia sebenarnya, iaitu 110 tahun bukan seperti tarikh lahir 6 Jun 1923 yang tertera dalam kad pengenalan kerana bapanya lewat membuat pendaftaran kelahiran disebabkan tinggal di pedalaman, tiada kemudahan logistik lagipun masih belum ada penguatkuasaan sepenuhnya oleh kerajaan British pada masa itu.

sempena Hari Polis ke-214 peringkat negeri di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad
Shah, di Kuala Lipis, Lipis, Pahang baru-baru ini. – HARIS FADILAH AHMAD
“Saya dilahirkan di Kampung Kuin Merah, Rantau Panjang mula membuat kad pengenalan apabila dipanggil oleh British untuk menjadi anggota home guard pada usia 27 tahun.
“Penugasan kami sebagai home guard ditempatkan di Kampung Banggul Cik Wan dan kawasan berdekatan di bawah pengurusan Balai Polis Meranti, Pasir Mas yang diketuai seorang pegawai British juga mengajarkan cara berkawad dan menembak,” katanya di Kampung Tanjung Buluh, dekat sini kelmarin.
Mat Ariffin yang kerap terlupa dan cuba mengingatkan kisah silamnya sambil dibantu seorang anaknya, Kamarulzaman, 47, berkata, penugasan bersama tujuh anggota dalam satu skuad home guard daripada kira-kira 200 orang pemuda dalam kawasan itu berfungsi membantu polis menjaga keselamatan kampung dan ketenteraman awam.
“Komunis memang sangat ramai bergerak secara gerila di hutan dan memberikan ancaman keselamatan penduduk malah boleh dikatakan setiap hari berlaku serangan hendap di kampung saya, berdekatan Rantau Panjang dan kawasan Sungai Golok.
“Saya bersama penduduk lebih banyak memantau dan menjaga keselamatan di kampung termasuk sekatan jalan raya memeriksa kenderaan yang dikhuatiri menyeludup masuk makanan untuk pengganas di hutan,” katanya.
Semasa bertugas, tambahnya anggota home guard cuma dibekalkan senapang patah Johnson atau dikenali senapang Cap Burung Hantu untuk mengawal dan membedil pengganas ketika bertembung.
Cerita Mat Ariffin, ketua mereka iaitu seorang pegawai British mempunyai disiplin yang tinggi, tidak langsung ‘memberi muka’ malah meminta supaya mematuhi arahan dan berani berdepan musuh (komunis) sehinggalah membakar perjuangan yang tinggi walaupun tugas mereka tanpa dibayar gaji.
“Saya bersama rakan home guard pernah bertempur dengan pengganas komunis di daerah Weng, Sungai Golok dan semasa pertempuran itu kami berjaya menembak mati seorang serta mencederakan rakan pengganas lain.
“Semasa bertempur, semangat saya naik seperti ‘karan’ dan pantang berundur dengan melepaskan tembakan dan hanya berserah kepada Allah SWT mengenai keselamatan diri ini,” katanya.
Bercerita lanjut, Mat Ariffin yang mempunyai dua orang isteri, 13 orang anak berusia antara 42 tahun hingga 72 tahun dan 40 cucu berkata, dia kemudiannya menyertai pasukan Special Constable (SC) sehingga 1 Julai 1959 selepas pengganas komunis meletakkan senjata dan juga berakhirnya tempoh Darurat.
“Selepas itu, saya menyertai pasukan polis selama beberapa tahun bertugas di beberapa buah tempat dan terakhir sekali sebelum bersara di Balai Polis Meranti, Pasir Mas,” katanya.
Mat Ariffin berkata, banyak peristiwa yang menjadi kenangan, iaitu ketika berusia 18 tahun pernah melihat pendaratan Jepun di bandar Kota Bharu, bertempur dengan Jepun dan akhirnya bekerja dengan tentera negara matahari terbit itu sebagai ketua kawad.
“Saya dilatih menjalani kawad kaki di bawah panas tengah hari yang terik dan kemudiannya dilantik sebagai jurukawad serta berpeluang mempelajari bahasa Jepun termasuk boleh menyanyikan lagu (Jepun) yang sangat popular ‘Aikoku Koushin’ dan ‘Kimigayo’,” katanya.
Katanya, selepas bersara sebagai anggota polis pada penghujung 1963, dia bekerja sebagai penjaga lombong, pemborong kecil pembinaan di samping melibatkan diri dalam perjuangan parti UMNO dan pernah dilantik sebagai Ketua Cawangan kampungnya serta Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Rantau Panjang.
“Saya berhijrah ke Kerambit, Lipis pada 1978 kemudian berpindah menetap di Kampung Tanjung Buluh sehingga ke hari ini.
“Semangat saya sejak dahulu tidak pernah luntur untuk berjuang melawan musuh dan nasihat kepada anak muda supaya meneladani semangat serta legasi perjuangan pahlawan dan tokoh silam untuk mempertahankan tanah air di samping taat setia kepada raja atau sultan, pemerintah dan hormat-menghormati antara satu sama lain.” katanya. – UTUSAN ONLINE