SEREMBAN: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menghalang kebakaran daripada merebak dan memusnahkan keseluruhan sebuah blok perniagaan di kawasan Pusat Perniagaan Nilai 3, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Komander Operasi Bakarya Mohd. Salleh berkata, kebakaran hanya melibatkan sebuah premis perniagaan barangan kelengkapan perkahwinan yang berada di tepi blok yang musnah kira-kira 70 peratus.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.18 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, kira-kira 50 peratus daripada bangunan setingkat berkeluasan 30×50 meter itu sudah terbakar, melibatkan bahagian tengah. Namun hasil tindakan segera anggota, api berjaya dikawal dalam tempoh lebih 30 minit sekali gus mengelakkan kebakaran merebak ke keseluruhan blok B.
“Secara keseluruhan, sekitar 70 peratus premis di tepi blok termasuk siling dan barangan di dalamnya musnah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Beliau berkata, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 dan tiada mangsa terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Sementara itu, saksi kejadian, Nurhanis Abd. Aziz, 34, yang bekerja di pejabat Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pasar Borong Rakyat Nilai 3, berkata, dia terdengar bunyi kecoh dari tingkat atas sebelum menyedari asap tebal naik dari tingkat bawah.
“Pekerja yang sedang membaca meter tiba-tiba menjerit nampak api marak. Percikan sampai ke atas, saya kemudiannya terus arahkan semua bertenang dan keluar.
“Dinding, cermin semua pecah, bau asap kuat, api cepat besar. Kami hanya sempat selamatkan diri. Kebakaran waktu itu tidak tahu berpunca dari mana,” katanya.
Katanya lagi, beberapa pekerja dan penyewa di premis bersebelahan cuba menyelamatkan barangan termasuk tong gas yang boleh membahayakan sebelum berjaya menutup bekalan elektrik.-UTUSAN.










