PETALING JAYA: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mengarahkan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani supaya tiada sekatan untuk wakil rakyat pergi dan balik melalui jalan menuju ke Parlimen.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin juga mesti menyampaikan perintah tersebut kepada Ketua Polis Negara supaya tidak menimbulkan keadaan huru-hara dan kacau-bilau di bangunan Parlimen.
Tegasnya, sidang Parlimen masih berada dalam penggal ketiga kerana tiada pewartaan proklamasi oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memprorog atau menggantung penggal Parlimen berdasarkan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan Fasal 2.
Beliau turut berkata, tindakan mengugut dan menghalang ahli-ahli Parlimen dari menjalankan tugas sah di sisi undang-undang adalah melanggar Seksyen 124 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tujuh tahun penjara atau denda.
“Kami kesal dengan tindakan mengarah dan memperalat pihak polis bagi menghalang wakil rakyat daripada memasuki Parlimen selain Yang Dipertua Dewan Rakyat yang membenarkan pelanggaran perintah Dewan Rakyat kepada Ketua Polis Negara ini berlaku.
“Kami telah meminta ahli-ahli Parlimen untuk membuat laporan polis bagi mengenal pasti mereka yang telah mengeluarkan arahan ini dan membawa mereka ke muka pengadilan.
“Niat kami untuk hadir ke Parlimen hanyalah untuk menjunjung titah Seri Paduka bahawa berasaskan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen perlu berbahas dan memutuskan pembatalan Ordinan Darurat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu ditulis bersama Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Semalam, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) kesal dengan tindakan pihak polis yang didakwa gagal memberi laluan selamat kepada ahlinya untuk meneruskan prosiding bersama Kementerian Kesihatan, di Parlimen, pukul 10.30 pagi.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh mendakwa diugut untuk menahannya jika beliau tidak beredar dari tempat sekatan jalan raya dalam tempoh dua minit namun akhirnya ‘lepas’ setelah campur tangan daripada Pengurusan Parlimen.
Di tempat berlainan, 107 ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Mereka setelah dihalang Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) memasuki Bangunan Parlimen.
Dalam sidang medianya, Anwar mendakwa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah tumbang ekoran bebeberapa ahli Parlimen PN dipercayai telah menyatakan untuk keluar dan menarik sokongan kepada kerajaan sedia ada.
Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat semalam ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan walhal ia adalah hari terakhir Dewan Rakyat bersidang secara khas.
PN pula berdepan tekanan untuk membentang dan membahaskan status pembatalan enam Ordinan Darurat yang didakwa belum mendapat perkenan Seri Paduka. -UTUSAN ONLINE