SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengambil inisiatif bagi mengurangkan beban pengusaha-pengusaha bas sekolah yang tidak dapat beroperasi ketika sekolah ditutup ekoran kes baharu Covid-19 masih tinggi.
Sebanyak 1,147 set makanan asasi diedarkan kepada pengusaha bas sekolah di bawah Persatuan Bas Sekolah Negeri Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL) yang terdiri daripada barangan asasi makanan seperti beras, minyak, tepung, gula dan sebagainya.
Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar memberitahu, setiap satu set sumbangan bernilai RM100 dan menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM114,700.
Sementara itu, Pengerusi PBSSPKL, Mohamad Harun Mohamad Sidik berkata, sumbangan yang diberikan oleh MAIS itu akan disampaikan kepada semua ahli PBSSKL yang berada di seluruh Selangor.
Mohamad Harun berkata, sumbangan yang disampaikan oleh MAIS hari ini, akan kita edarkan kepada ahli selewatnya sehingga Selasa depan.
Dalam pada masa yang sama beliau turut mengharapkan bantuan seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk membantu pengusaha-pengusaha bas sekolah terutamanya di negeri ini yang terjejas teruk akibat daripada pandemik Covid-19.
“Saya merayu agar bantuan seperti ini dapat diteruskan sekiranya sekolah masih tidak dibuka pada tahun ini.
“Semoga bantuan yang diagihkan ini dapat meringankan kos perbelanjaan seharian pengusaha-pengusaha bas sekolah yang terkesan akibat pandemik Covid-19 ini,”katanya.
Orang ramai yang ingin membuat bayaran fidyah, bolehlah layari laman web MAIS di www.mais.gov.my atau bayaran boleh dibuat melalui http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php. -UTUSAN ONLINE