PASIR PUTEH: Mohd. Norhisam Jali baru berusia 39 tahun namun dia hilang kudrat dan tidak mampu bekerja selepas kaki kanan hingga ke paras lutut membengkak akibat jangkitan kuman sejak lima tahun lalu.
Lebih malang, bekas buruh di Pelabuhan Tok Bali yang tinggal di Kampung Dalam Rhu, di sini terpaksa menahan sakit bagaikan dicucuk jarum pada bahagian kaki yang membengkak tersebut setiap hari.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Norhisam berkata, selepas hilang punca pendapatan, dia bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.
“Selain itu, saya dan lima anak kini turut bergantung harap kepada usaha isteri, Maznah Othman, 37, yang menjual kuih-muih dengan pendapatan kasar RM60 sehari.
“Kuih buatan isteri diletakkan di beberapa warung di Cherang Ruku. Namun disebabkan Covid-19, jualan kuihnya merosot selama berbulan-bulan. Sekarang sewa rumah kami RM200 sebulan juga sering tertunggak,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut tentang jangkitan kuman dialaminya, Mohd. Norhisam berkata, bengkak pada kaki tersebut menyebabkan dia tidak mampu berdiri lama dan sukar menguruskan diri termasuk memakai seluar.
“Ketika dirawat selama sebulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, lima tahun lalu, doktor memaklumkan ia hanyalah jangkitan kuman. Tidak sangka ia berlarutan sehingga sekarang dan tidak sembuh-sembuh.
“Penyakit ini merupakan satu ujian buat saya dan keluarga. Peritnya bukan setakat perlu menahan sakit di kaki yang membengkak dan mengeluarkan air bisa, tetapi turut perit memikirkan nasib kelima-lima anak yang masih bersekolah,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Mohd. Norhisam di talian 01139141270 atau menyalurkan kepada akaun CIMB – 13035020717006 atas nama Mohd. Norhisam Bin Jali. -UTUSAN ONLINE