SHAH ALAM: Terdapat sebanyak 15,010 buah rumah dalam 111 projek terbengkalai hampir 15 tahun dan dikatakan masih belum ada kontraktor atau pemaju yang mahu mengambil alih projek ‘gajah putih’ itu.
Daripada jumlah itu, kebanyakan projek terbengkalai adalah di Klang apabila sebanyak 39 projek perumahan gagal disiapkan, diikuti dengan Kuala Langat (30) dan Hulu Langat (13).
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata, jumlah projek ini telah dicatatkan sejak tahun 2007 dan masih belum ada pihak tampil untuk menyelesaikannya.
“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk menyelesaikan masalah ini walaupun bidang kuasa kami terhad dan tertakluk pada Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966.
“Beberapa langkah telah kami ambil untuk selesaikan sebanyak mungkin isu ini dan Insya- Allah, saya akan bentangkan senarai beberapa projek dalam senarai ini yang akan digugurkan pada penghujung tahun ini,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 di Bangunan Annex, di sini hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan daripada Lee Kee Hiong (PH-Kuala Kubu Bharu) yang bertanya mengenai usaha yang dilakukan kerajaan negeri bagi mengatasi isu projek perumahan terbengkalai di Selangor.
Katanya lagi, di daerah lain seperti Gombak terdapat 11 projek perumahan masih belum diselesaikan, begitu juga di Hulu Selangor (9), Sepang (9), Petaling (5), Kuala Selangor (4) dan Sabak Bernam (1).
Menurutnya, beberapa langkah yang telah diambil kerajaan negeri bagi mengatasi masalah ini membentuk Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai Pihak Berkuasa Tempatan (JKPPTPBT) di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kami juga bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bertukar pandangan mengenai kaedah penyelesaian secara menyeluruh,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE