KUALA NERUS: Krisis air 2.0 yang kini memasuki hari keempat makin menghimpit penduduk hingga rata-ratanya terpaksa memilih alternatif lain termasuk berkunjung ke kawasan anak sungai semata-mata untuk mendapatkan bekalan air bersih.
Begitulah rutin kalangan penghuni Kampung Lingai di sini yang mendakwa tidak menerima sebarang bantuan bekalan air daripada pihak Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (Satu) dan hanya bergantung harap kepada telaga tiub atau boring.
Lebih menyedihkan, mereka bukan sahaja terpaksa melalui laluan berbukit di kawasan hutan dan kebun terbiar sejauh kira-kira 3 kilometer malah, menuruni cerun berbatu untuk ke lokasi anak sungai di kaki Bukit Gedut itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang suri rumah, Nur Safura Awang, 41, berkata, sejak terputus bekalan air pada Isnin lalu sudah dua kali dia ke sungai berkenaan bagi membasuh baju dengan ditemani tiga anaknya yang berusia antara dua hingga tujuh tahun.
Katanya, walaupun terpaksa merisikokan diri, namun dia tiada pilihan lain kerana terpaksa berjimat-cermat sepanjang tempoh ini sekali gus tidak dapat menggunakan perkhidmatan dobi layan diri.
Menurutnya, lokasi anak sungai itu bukan lokasi riadah kerana keadaan sekitarnya yang berbahaya untuk pengunjung.
“Saya mempunyai lima anak dan ibu bapa yang tinggal bersama, jadi baju-baju kotor kami banyak, mujurlah air sungai ini bersih jadi dapatlah saya menumpang membasuh pakaian di sini.
“Semasa krisis air pertama pada awal bulan, saya terpaksa ke bandar Kuala Terengganu untuk mencuci baju di dobi dengan kos mencecah RM100, jadi saya ambil keputusan membasuh di sungai sahaja untuk berjimat-cermat,” katanya ketika ditemui hari ini.
Nur Safura berkata, lazimnya dia menunggang motosikal ke anak sungai itu pada waktu tengah hari bagi mengelak kesesakan di sebelah pagi dan petang.
Sementara itu, kakak iparnya, Salmiah Abdullah, 47, berkata, sungai tersebut mula menjadi tumpuan penduduk semasa gangguan bekalan air yang pertama pada 2 Ogos lalu.
“Untuk bekalan air bersih di rumah, kami bersyukur kerana terdapat boring yang disediakan seorang penduduk tetapi saya kasihan pada yang suami terpaksa berpanas serta berhujan setiap hari mengangkat air,” katanya. -UTUSAN ONLINE










