KXP: Penduduk bantah pengambilan tanah - Utusan Malaysia

KXP: Penduduk bantah pengambilan tanah

KAWASAN Kampung Jerung, Sidam Kiri, Sungai Petani yang menjadi sebahagian daripada tapak projek pembinaan KXP di Sidam Kiri, Kuala Muda dekat Sungai Petani. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Lebih 1,000 keluarga di dua buah kampung di Sidam Kiri di sini membantah cadangan pengambilan tanah kampung itu untuk tapak projek pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang akan mula dibina tidak lama lagi.

Penduduk di Kampung Pantai Cicar dan Kampung Jerung itu mendakwa, mereka telah menerima notis pemakluman awal mengenai cadangan pengambilan tanah untuk projek tersebut pada awal tahun lalu.  Difahamkan antara kampung-kampung lain yang terlibat ialah Kampung Kuala Sedim, Kampung Kemumbong, Kampung Lubuk Kiab, Kampung Batu Pekaka dan Kampung Tanah Licin.

MOHAMAD RIZAL ABDUL GHANI dan ROSLI AHMAD 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Kampung Pantai Cicar, Mohamad Rizal Abdul Ghani, 46, berkata, status pengambilan tanah penduduk terlibat dijangka diketahui selepas selesai kajian pembinaan lapangan terbang itu pada hujung tahun ini.

Bagaimanapun, menurutnya, penduduk di kampung tradisi ini membantah cadangan pengambilan tanah mereka yang diusahakan mereka sejak  turun-temurun lagi.

“Kami tidak membantah pembinaan lapangan terbang itu, tetapi, kami tidak mahu projek tersebut melibatkan pengambilan tanah di kampung ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam

Pada 2 Ogos lalu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, fasa pertama projek KXP yang bernilai RM6 bilion itu yang akan dimulakan dalam tempoh terdekat dijangka siap pada tahun 2026.

Menurutnya, projek KXP dijangka membawa perubahan besar dalam landskap ekonomi negeri termasuk pelaksanaan beberapa projek sokongan.

Pada masa sama, Mohamad Rizal menambah,  penduduk bersedia berpindah sekiranya mereka terpaksa menyerahkan tanah tersebut untuk projek tersebut, tetapi, mengharapkan bayaran pampasan yang setimpal.

Selain itu, katanya, penduduk juga mengharapkan kerajaan dapat menyediakan penempatan baharu yang berdekatan dengan kampung ini.

“Penduduk yang terlibat perlu mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan sekiranya tanah mereka terlibat dengan projek itu,’ ujarnya.

Sementara itu, wakil penduduk Kampung Jerung, Rosli Ahmad, 47, berkata, penduduk sebelum ini dimaklumkan keseluruhan tanah di kampung itu akan diambil kerana terlibat dengan projek KXP itu.

Bagaimanapun, menurutnya, mereka difahamkan bayaran pampasan yang bakal diterima terlalu murah dan tidak berbaloi.

“Penduduk mahu projek itu dilaksanakan dalam situasi ‘menang menang’ dan tidak membabitkan muslihat pembangunan yang bertujuan untuk keuntungan sebelah pihak sahaja,” katanya.

Tambahnya, penduduk juga mahu pihak kerajaan dan syarikat pemaju terlibat mengadakan perbincangan secara lebih kerap supaya penduduk mendapat maklumat yang tepat bagi mengelak dimanipulasi oleh pihak berkepentingan.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN