JOHOR BAHRU: Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani perlu menjelaskan mengenai pelanggaran ke atas demokrasi berparlimen oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menghalang ahli-ahli Parlimen masuk ke Bangunan Parlimen, semalam.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, tindakan PDRM itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia bertentangan dengan usul oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dibentangkan di Dewan Rakyat dan disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan.
“Mengikut usul itu, bahawa Majlis ini memerintahkan KPN menjaga supaya selama penggal Dewan Rakyat yang ada sekarang, jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke dewan ini hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa-apa halangan menghalang ahli-ahli hendak pergi dan balik dari dewan ini.
“Jangan berlaku apa-apa kacau-bilau di jalan-jalan menuju ke dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini dan Setiausaha Dewan Rakyat hendaklah menyampaikan perintah ini kepada KPN yang tersebut itu.
“Persidangan Khas Dewan Rakyat pada Isnin 2 Ogos 2021 adalah suatu persidangan dalam Penggal Ketiga Parlimen Ke-14. Penggal Ketiga masih berkuatkuasa. Ini bermakna usul menteri berkaitan Jalan-Jalan Masuk Ke Parlimen bertarikh 13 Julai 2020 masih berkuatkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semalam adalah hari terakhir bagi Persidangan Khas Dewan Rakyat yang telah bermula pada 26 Julai lalu dan dijadualkan pembentangan penerangan pada asalnya oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan berkenaan Proklamasi Darurat.
Jelasnya, tindakan menghalang ahli-ahli Parlimen daripada menjalankan tugas mereka adalah kesalahan mengikut Seksyen 124, 124B dan 124C Kanun Acara Jenayah yang mengenakan hukuman penjara ke atas kesalahan tersebut.
“Adakah KPN tahu akan wujudnya Usul Dewan Rakyat tersebut? Jika KPN tahu tentang wujudnya usul itu, mengapa dibenarkan anggota PDRM termasuk Unit FRU ditempatkan di jalan-jalan ke bangunan Parlimen untuk menghalang ahli-ahli Parlimen masuk.
“Jika KPN cuba menjawab dengan memberi alasan bahawa ditakuti wujudnya risiko jangkitan Covid-19 di Parlimen, maka saya ingin kepastian adakah kawasan kompleks bangunan Parlimen telah diwartakan atau digazetkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Yang Diperketatkan (PKPD),” soalnya.
Katanya, beliau ingin kemukakan penjelasan kepada Acryl Sani bahawa Surat Penangguhan Sidang Khas Parlimen semalam yang ditandatangani oleh Setiausaha Dewan Rakyat menyebut alasan penangguhan atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan tentang kemungkinan besar berlakunya risiko jangkitan Covid-19 berpunca daripada varian yang berbahaya.
“Mengapa Noor Hisham dibenarkan masuk ke bangunan Parlimen yang dikatakan berbahaya jangkitan Covid-19 pada pagi yang sama untuk memberi keterangan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Kira-Kira Kewangan Parlimen (PAC).
“Mengapa Mesyuarat PAC dibenarkan berjalan seperti biasa dan mengapa Ketua Pengarah Kesihatan dibenarkan masuk ke Parlimen tetapi ahli-ahli Parlimen disekat, dihalang dan dinafikan hak mereka untuk datang ke Persidangan Khas Dewan Rakyat,” katanya.- UTUSAN ONLINE