PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini sedang melakukan kajian kos, harga dan bekalan bagi alat ujian kendiri Covid-19 yang berada di pasaran ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kajian itu penting bagi menentukan harga runcit alat ujian kendiri Covid-19 supaya dijual pada harga bersesuaian sekali gus tidak membebankan pengguna.
Beliau berkata, pihaknya ketika ini sedang menjalankan sesi libat urus bersama syarikat-syarikat yang telah dilesenkan meliputi rantaian pengedaran, pembekalan serta di peringkat runcit seperti farmasi dan klinik.
“Saya mengambil maklum isu harga runcit kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual di pasaran buat masa ini.
“KPDNHEP bersama Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti situasi ini dan menguruskan isu harga runcit kit ujian tersebut sebaik mungkin demi kepentingan pengguna,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Alexander berkata, kit ujian kendiri Covid-19 kini sudah menjadi keperluan penting kepada pengguna untuk mengurus dan menjaga keselamatan kesihatan secara kendiri dalam situasi semasa negara berhadapan dengan cabaran wabak Covid-19.
Katanya, pengguna juga dinasihatkan lebih berhati-hati dengan pembelian kit ujian kendiri Covid-19 di pasaran dengan membuat rujukan di laman web rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).
“Senarai penuh syarikat yang diluluskan MDA untuk mengedar dan menjual kit ujian kendiri Covid-19 untuk kegunaan awam boleh dirujuk nenerusi https://portal.mda.gov.my/,” katanya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mengumumkan sebanyak 11 kit ujian kendiri Covid-19 sudah diluluskan KKM
melalui MDA. -UTUSAN ONLINE










