JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri mengenal pasti beberapa faktor penyebab kepada peningkatan kes positif Covid-19 harian di negeri ini yang disumbangkan oleh kluster industri dan kluster komuniti.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, struktur sosio ekonomi negeri Johor yang berasaskan industri turut menjadi faktor penyumbang.
Sehubungan itu katanya, Johor telah menyediakan konsep Johor Industrial Preparedness Plan (JIPP) yang menekankan tanggungjawab industri mengambil tindakan pencegahan dan kawalan lebih ketat terhadap Covid-19.
“Inisiatif JIPP merupakan langkah yang perlu diambil majikan melalui pemerkasaan majikan dan warga kerja untuk memainkan peranan lebih giat dan proaktif sebagai pejuang barisan hadapan.
“JIPP mengambil kira langkah menangani situasi Covid-19 semasa, menyediakan pelan jangka masa pendek dan sederhana bagi mencegah penularan dalam industri serta pelan jangka panjang untuk memastikan kesejahteraan warga kerja agar suasana persekitaran tidak menyumbang kepada situasi penularan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Johor merekodkan 1,144 kes positif Covid-19 baharu menjadikan kumulatif kes di negeri ini berjumlah 90,683 kes dengan keseluruhan 927 kematian setakat semalam.
Jumlah kluster aktif yang dilaporkan di negeri ini ketika ini adalah sebanyak 174 kluster di mana 99 kluster industri atau 57 peratus, 30 kluster komuniti (17 peratus), 28 kluster institusi (16 peratus), 10 kluster pasaraya (enam peratus), lima kluster tahanan (tiga peratus) dan dua kluster import (satu peratus).
Tambah Vidyananthan, penglibatan secara langsung majikan, pegawai sumber manusia dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) syarikat adalah bertepatan, di mana mereka berupaya bertindak sebagai ejen penghubung dan penyelaras di tempat kerja.
Menurut beliau, penularan dalam sektor perkilangan direkodkan terutamanya dalam kalangan pekerja yang tinggal di asrama selain turut menular dalam kalangan pekerja.
“Sementara itu, tidak dinafi ia juga berkait rapat dengan aktiviti sosial terutamanya pada musim perayaan dan pada upacara kematian.
“Ini masih menggambarkan sikap masyarakat yang mengambil mudah terhadap langkah-langkah pencegahan penularan menyumbang secara terus kepada peningkatan kes,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE