'Kita takkan mengalah'- Petugas kesihatan Selangor - Utusan Malaysia

‘Kita takkan mengalah’- Petugas kesihatan Selangor

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Biarpun kes harian Covid-19 di Selangor masih tinggi, ia tidak akan sesekali mematahkan semangat petugas kesihatan untuk terus memerangi pandemik itu.

Tekad mewakili kira-kira 30,000 petugas di negeri ini diterjemahkan menerusi video terbitan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Video ‘Kita Takkan Mengalah’ berdurasi lebih tiga minit di laman Youtube itu meraih sebanyak 10,000 tontonan sejak dimuat naik semalam.

Menerusi video itu, kumpulan petugas kesihatan termasuk yang memakai peralatan perlindungan diri (PPE) dilihat mengangkat tangan sambil melaungkan ungkapan tidak akan mengalah bagi memerangi Covid-19.

Mereka antaranya terdiri daripada kakitangan hospital, Pusat Kesihatan Daerah (PKD), klinik kesihatan, skuad vaksin bergerak dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Selangor.

Tambah menyentuh perasaan apabila Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Shaari Ngadiman turut sebak ketika menyeru rakyat bekerjasama membendung penularan pandemik.

“Tanpa anda semua, kejayaan ini tidak dapat dicapai. Kejayaan hanya dapat diukur apabila Covid-19 dan kematian berkurangan.

“Saya amat bertuah bersama dengan JKNS dan anda perlu terus bekerjasama dengan saya untuk mengawal Covid ini,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menzahirkan penghargaan kepada petugas kesihatan atas ketahanan, ketabahan dan kecekalan mereka.

“Sejarah akan melihat jasa barisan hadapan sebagai wira sebenar negara kita dalam memerangi wabak Covid-19.

“Terima kasih dan salute (tabik hormat) kepada anda,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, petugas barisan hadapan sudah melakukan yang terbaik biarpun menempuh pelbagai kesukaran selama ini.

“Segala usaha, keringat, air mata dan pengorbanan anda dalam perjuangan ini akan dikenang dalam lipatan sejarah negara.

“Allah tahu yang anda sedang susah, melihat anda putus asa dan mendengar keluhan anda,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN