Kerajaan Selangor laksana dasar tampung peningkatan kadar pengangguran - Utusan Malaysia

Kerajaan Selangor laksana dasar tampung peningkatan kadar pengangguran

MOHD. KHAIRUDDIN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyediakan beberapa inisiatif dalam pelbagai bentuk seperti pembiayaan untuk permulaan perniagaan serta program pameran kerjaya bagi mengimbangi peningkatan kadar pengangguran di negeri itu.

Antara inisiatifnya adalah Selangor Job Fair 2021, Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE), Selangor Kerjaya dan sebagainya.

Selain itu, skim pinjaman mikrokredit seperti Skim Zero to Hero, Skim Niaga Darul Ehsan (Nadi), GO Digital (Skim Pembiayaan Digital) turut disediakan kerajaan negeri bagi rakyat terutama golongan belia negeri itu yang mahu memulakan perniagaan.

Menurut Exco, Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd. Khairuddin Othman, penganjuran program dan inisiatif sedemikian adalah selaras dengan hasrat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyentuh soal peningkatan pengangguran di seluruh negara.

“Berdasarkan statistik tenaga buruh dari Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran pada tahun ini di Selangor adalah 4.5 peratus, meningkat sebanyak 0.2 peratus pada tahun lalu.

“Keadaan ini melebihi peratusan 0.5 seperti yang disarankan untuk kestabilan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin dalam titah ucapan perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama  Penggal Keempat Persidangan Dewan Negeri Selangor ke-14 memaklumkan kadar pengangguran negara meningkat kepada 4.9 peratus pada 2020 berbanding tahun 2019, 3.9 peratus.

Baginda menjelaskan, walaupun terdapat sedikit pertumbuhan pada awal tahun, namun kadar itu kembali meningkat kepada 4.8 pratus selepas 40,600 pekerja hilang pekerjaan pada bulan Jun 2021.

Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu memaklumkan kerajaan negeri akan berusaha keras bagi memastikan kadar pengangguran dapat diturunkan 

“Saya bersama pegawai dalam jawatankuasa ini akan terus bekerja keras supaya majoriti mereka yang kehilangan kerja sebelum ini, dapat bekerja semula.

“Kami akan buat sebaik mungkin untuk rakyat negeri, sekaligus dapat memacu semula Selangor sebagai kuasa besar ekonomi dalam negara ini,” ujarnya.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN