PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berjanji selain Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti di Parlimen jika usul undi percaya yang akan mengekalkan beliau sebagai Perdana Menteri diluluskan.
Perdana Menteri berkata, pembentangan itu akan dibuat sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga.
“Sekiranya kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian dalam Ucapan Khas Perdana Bersama Memulihkan Negara hari ini. -UTUSAN










