Kejutan besar? - Utusan Malaysia

Kejutan besar?

KENDERAAN yang membawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tiba bagi perjumpaan khas di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya semalam. – utusan/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedudukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) merupakan topik utama perbincangan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan pemimpin parti dalam PN di Putrajaya semalam, dipercayai akan membawa perkembangan besar kepada politik tanah air.

Difahamkan, ia berkisar sama ada kedudukan kerajaan PN akan terbubar atau kerajaan minoriti diwujudkan sekiranya Muhyiddin gagal memperoleh sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Malah, ia juga berkaitan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada Muhyiddin sewaktu Mesyuarat Pra-Kabinet pagi semalam agar menyegerakan sidang Dewan Rakyat dan lebih awal daripada yang ditetapkan pada September depan.

Menurut sumber kepada Utusan Malaysia, satu keputusan besar akan diumum dalam masa terdekat membabitkan hala tuju PN, sekali gus memberi kesan besar kepada perkembangan politik tanah air.

Namun, rata-rata pemimpin yang menyertai mesyuarat itu mengambil pendirian ‘kunci mulut’ selepas mesyuarat berakhir kira-kira pukul 7 petang.

Malah ada yang tidak menjawab panggilan dan mesej ketika dihubungi untuk mendapat maklum balas pertemuan itu.

Sementara itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai enggan mengulas berkenaan intipati yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

Beliau juga menolak kemungkinan mesyuarat menyentuh soal sidang penuh Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 yang bermula 6 September ini.

“Saya minta maaf, saya tidak dibenarkan berkongsi hasil mesyuarat semalam ke­rana perkara ini sangat sensitif. Apapun, kami berbincang tentang perkembangan terkini politik tentang apa yang sudah berlaku dalam masa beberapa hari ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pe­nerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau tidak mendapat maklumat ber­kenaan mesyuarat semalam.

Hal itu kerana, setiap perkara yang berkaitan parti-parti komponen kerajaan akan dimaklumkan melalui Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Mohon maaf. Saya pun belum mendapat perkembangan. Biasanya, kalau melibatkan hubungan antara parti adalah Setiausaha Agung. Saya lebih mengenai hal yang bukan pentadbiran. Jadi, Hamzah rasa­nya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berpandangan, kerajaan kekal dengan naratif sedia ada termasuklah sidang Parlimen yang dijadualkan 6 September ini.

Pengerusi Majlis Ahli Parlimen PN (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim pula memaklumkan, beliau tidak menge­tahui butiran mesyuarat itu kerana tidak menyertai perbincangan tersebut.

“Itu kena tanya Perdana Menteri, saya tidak tahu menahu. Kalau saya cakap lebih-lebih, nanti jadi spekulasi, ini tidak elok,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat PN yang berlangsung lebih dua jam bermula pukul 5 petang di Pejabat Perdana Menteri, Ba­ngunan Perdana Putra, Putrajaya.

Mesyuarat itu juga dihadiri kepemimpinan utama parti komponen PN antaranya Pre­siden Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Setiausaha Agung Pas me­rangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Hadir sama, Presiden MCA merangkap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Presiden Star me­rangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.

Mesyuarat yang berlangsung secara harmoni itu dipercayai bagi memperkukuh konsensus PN apabila semua ketua parti beranggapan Muhyiddin masih mempunyai sokongan majoriti.

Difahamkan, mesyuarat itu tidak dihadiri pemimpin UMNO. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×