KUALA TERENGGANU: Pembentukan Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini disifatkan sebagai Kabinet yang menyeluruh kerana menggabungkan pemimpin lama dan baharu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun ada segelintir yang bertukar portfolio, namun, langkah itu tentunya bertujuan untuk memastikan setiap urusan berkaitan Covid-19 dan pemulihan ekonomi berjalan lancar.
“Jadi, saya rasa ini adalah Kabinet yang menyeluruh dibentangkan oleh Perdana Menteri.
“Memang kita rasa agak terkilan sedikit kerana tiada menteri dari Terengganu, tetapi, dalam masa sama saya percaya barisan Kabinet akan bertugas dengan penuh keadilan untuk rakyat serta negara tanpa mengira negeri asal,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas senarai Kabinet Ismail Sabri yang masih mengekalkan 31 kementerian merangkumi 31 menteri dan 38 timbalan menteri dengan keseluruhan berjumlah 70 orang.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim di samping Datuk Rosol Wahid merupakan antara dua anak negeri yang dilantik semula dengan masing-masing mengekalkan portfolio sama iaitu Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,
Dua anak negeri yang digugurkan dalam Kabinet baharu ini ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali yang sebelum ini menerajui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di samping Datuk Dr. Zulkifli Mohamad (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). -UTUSAN ONLINE










