BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri membuka kaunter pandu lalu di pekarangan Ibu Pejabat JPJ Seberang Jaya, di sini bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen memandu susulan tarikh penamatan moratorium semakin hampir.
Pengarahnya, Adenan Md. Isa berkata, kaunter pandu lalu yang beroperasi sehingga 30 September itu bakal melicinkan urusan pelanggan yang ingin memperbaharui lesen memandu (LMM) dan lesen kenderaan motor (LKM) persendirian.
Jelasnya, pelanggan hanya perlu menunggu dalam kenderaan masing-masing dan langkah itu dapat mengurangkan kontak fizikal sekali gus mengelakkan kesesakan semasa mendaftar masuk untuk berurusan di kaunter.
“Kaunter pandu lalu ini beroperasi dari Isnin sehingga Khamis bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari manakala bagi hari Jumaat, operasi bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan kempen sambutan Hari Kebangsaan menerusi pemasangan bendera Jalur Gemilang di pekarangan pejabat JPJ negeri termasuk pagar, bangunan dan kaunter urus niaga.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap orang ramai akan melunaskan bayaran saman JPJ tertunggak menerusi tawaran diskaun 70 peratus bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64.
“Setakat ini, hampir 100,000 saman aktif yang masih belum dijelaskan dan diharapkan orang ramai rebutlah peluang ini untuk melunaskan saman yang tertunggak.
“Bagaimanapun, pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam dikehendaki hadir semula ke pejabat JPJ cawangan atau negeri bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan.
“Kaunter urus niaga turut dibuka tujuh hari seminggu bagi memudahkan setiap individu membuat pembayaran saman,” katanya. -UTUSAN ONLINE