Johor belum benarkan 11 aktiviti ekonomi beroperasi - Utusan Malaysia

Johor belum benarkan 11 aktiviti ekonomi beroperasi

Mencuci kereta dan menggunting rambut masih tidak dibenarkan di Johor - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Operasi bagi 11 aktiviti ekonomi termasuk premis cuci kereta dan kedai gunting rambut yang diumumkan pada Ahad lalu masih belum dibenarkan beroperasi di negeri ini.

Ini susulan Johor yang hanya mencatatkan 27.8 peratus kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa yang menerima dua dos belum mencapai syarat utama kebenaran beroperasi iaitu sekurang-kurangnya 50 peratus.

Berdasarkan pemerhatian, beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini memuat naik notis pemakluman berkaitan perkara itu bagi mengelak kekeliruan orang ramai dan pengusaha terlibat.

Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) misalnya memaklumkan, pengumuman itu hanya akan terpakai apabila syarat kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa telah mencapai sekurang-kurangnya 50 peratus kelak dan individu yang mahu memanfaatkan kemudahan itu juga perlu menerima vaksinasi lengkap.

“Menerusi kenyataan kerajaan membenarkan kemudahan sektor perdagangan dan pengedaran membabitkan 11 aktiviti ekonomi dibenarkan kembali beroperasi dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa semalam.

“Kebenaran bagi 11 jenis ekonomi berkenaan buat masa ini adalah masih belum terpakai kepada Johor kerana masih belum mencapai kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa sekurang-kurangnya 50 peratus,” kata MBJB melalui Facebook rasminya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembukaan semula 11 jenis ekonomi berkuatkuasa semalam selepas mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ia membabitkan operasi kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan, kedai aksesori kereta, pusat pengedaran dan jualan kereta, pasar pagi dan pasar tani sahaja.

Malah, kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kedai barang kemas serta kedai gunting rambut dan pusat/salun kecantikan (perkhidmatan gunting rambut asas sahaja) turut dibenarkan beroperasi selain syarat individu yang ingin memanfaatkan kemudahan tersebut juga mestilah telah menerima vaksinasi lengkap.

Sementara itu, notis sama turut dimuat naik Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) dan beberapa PBT lain di seluruh Johor.

Menurut statistik di laman Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV), kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Johor hanya mencatatkan kadar 27.8 peratus, setakat pukul 11.59 malam tadi, iaitu antara kadar terendah di antara 14 negeri. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN