KUALA LUMPUR: Sebuah Jawatankuasa Khas perlu ditubuhkan bagi meneliti calon yang layak untuk diangkat sebagai Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat baharu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakob berkata, ia merupakan sebahagian reformasi yang harus dilakukan supaya dapat menambahbaik sistem Parlimen yang memerlukan individu lebih adil dan berani membuat keputusan serta tidak berpihak kepada mana-mana sama ada kerajaan atau pembangkang.
“Speaker sekarang Datuk Azhar Azizan Harun mendapat jawatan daripada pemerintah, jadi sudah pasti beliau akan berpihak kepada pemerintah. Sudah pasti kecenderungan beliau akan menjadi tidak neutral kerana dilihat berpihak kepada kerajaan dan tidak berani membuat keputusan.
“Jadi satu mekanisme baharu perlu diambil dengan dibarisi ahli Dewan Rakyat kerajaan dan pembangkang, juga bekas hakim yang pernah berkhidmat dalam kedudukan Perlembagaan, ini kerana jawatan Speaker Dewan Rakyat ibarat hakim yang akan mengadili persidangan nanti. Jadi bagi saya ia perlu disaring dan dinilai menerusi sebuah jawatankuasa khas.
“Inilah reformasi Parlimen yang perlu ditunjukkan kerajaan, kalau amalkan kaedah yang sama tiada pembaharuan yang akan berlaku walaupun jawatan itu diganti kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah beliau, kriteria utama bagi individu yang menyandang jawatan Speaker dan Timbalan Dewan Rakyat ini haruslah mereka yang profesional di mana ia tidak cenderung kepada mana-mana kerajaan yang memerintah serta tidak cenderung kepada mana-mana fahaman politik.
Azhar merupakan Speaker Dewan Rakyat yang dilantik bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak Julai 2020.
Pelantikan beliau itu adalah bagi menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof yang memegang jawatan tersebut sebelum ini.
Azhar dibantu dua orang timbalannya iaitu Datuk Seri Azalina Othman Said yang baru meletak jawatan kelmarin dan Datuk Mohd. Rashid Hasnon. – UTUSAN ONLINE










