Jangan ada kluster mahkamah dalam Kabinet baharu - Utusan Malaysia

Jangan ada kluster mahkamah dalam Kabinet baharu

FIRDAUSI SUFFIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pembentukan Kabinet baharu perlu mengambil kira rekod pencapaian setiap ahli Parlimen yang dilantik dan yang penting, bukan daripada kluster mahkamah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Politik Ekonomi UiTM Sabah, Dr. Firdausi Suffian berkata, ketika ini, negara memerlukan jemaah menteri yang kompeten bagi menangani Covid-19, krisis ekonomi dan melakukan reformasi dalam institusi pentadbiran negara.

Beliau berkata, Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh melantik Kabinet yang terdiri daripada orang baharu dengan memastikan mereka yang dilantik bersih daripada kluster mahkamah.

Jelas beliau, pembentukan Kabinet baharu perlu lebih banyak teknorat iaitu golongan profesional seperti lantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan harus mewujudkan lebih banyak majlis atau jawatankuasa khas bagi menangani Covid-19 yang perlu dianggotai oleh wakil kerajaan dan juga pembangkang.

“Misalnya, Majlis Pemulihan Ekonomi yang bukan hanya terdiri daripada wakil kerajaan tetapi juga, pembangkang. Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga menganggotainya. Keahlian majlis mahupun jawatankuasa khas perlu diperluaskan dalam kalangan pemimpin kerajaan dan juga pembangkang.

 

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen perlu dianggotai 50 peratus wakil kerajaan dan 50 peratus pembangkang agar wujud semak dan imbang. Namun, usul ini perlu dikemukakan di Dewan Rakyat,” katanya.

Firdausi berkata, memandangkan bipartisan tidak akan berlaku maka, usaha mewujudakn jawatankuasa khas sebegini akan memperlihatkan usaha kerajaan membawa ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan untuk duduk bersama menyumbang kepada pentadbiran negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong turut bertitah agar Ismail Sabri menentukan keabsahan sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat sebelum membentuk Kabinet. Langkah ini penting bagi mengukuhkan lantikan Perdana Menteri.

“Kita tidak mahu kerajaan bertukar sekali lagi. Kita mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) hanya sekali tapi, Perdana Menteri sudah bertukar tiga kali.

“Jadi, untuk meredakan kemelut politik ini, keabsahan Perdana Menteri perlu dilakukan di Parlimen sejajar dengan proses demokrasi. Parlimen adalah institusi tertinggi bagi menentukan keabsahan Perdana Menteri.

Tambah beliau, kita tidak dapat melaksanakan PRU pada masa ini biarpun itu yang terbaik untuk mengembalikan mandat rakyat. Maka, pilihan kedua adalah memberi hak itu kepada ahli Parlimen untuk menunjukkan keabsahan Perdana Menteri bagi meredakan sementara kemelut politik negara sehingga PRU akan datang.

Dalam pada itu, Firdausi tidak melihat sebarang perubahan akan berlaku di Sabah kerana pemerintah di peringkat Pusat masih terdiri daripada pemimpin UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Malah, Datuk Seri Bung Moktar Radin selaku Pengerusi Perhubungan UMNO negeri mempunyai autonomi di Sabah dan beliau sendiri menyatakan akan memberi sokongan penuh kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri.

“Maka, tidak wujud bibit perubahan di Sabah kerana kerajaan Pusat masih terdiri daripada UMNO dan Bersatu,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN