PUTRAJAYA: Kedutaan Iran di Kuala Lumpur menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas pemberian vaksinasi Covid-19 kepada rakyatnya yang menetap di negara ini.
Menerusi kenyataan pejabat perwakilan republik tersebut di sini hari ini, pihak kedutaan turut berterima kasih atas kerjasama baik pelbagai kementerian bagi pelaksanaan imunisasi itu.
“Koordinasi pihak Kementerian Luar, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Telknologi dan Inovasi dengan komuniti diplomatik Iran ternyata amat berjaya diuruskan,” katanya yang merujuk inisiatif Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan kerajaan turut meliputi warga asing tanpa sebarang isu diskriminasi.
Langkah tersebut ujar kedutaan, amat tepat pada masanya sehingga berjaya melaksanakan pemberian vaksin lebih 20 juta dos dalam beberapa bulan yang cukup dikagumi antarabangsa.
Iran mula membuka canseri kedutaannya di Jalan U Thant di ibu kota sejak 1980 dan ketika ini ada 31 petugas termasuk pasangan mereka serta diketuai dutanya, Ali Asghar Mohammadi.
Dianggarkan terdapat ribuan warga Iran yang berada di seluruh Malaysia sama ada bertugas dengan beberapa syarikat multinasional atau pun belajar di pelbagai institusi pengajian tinggi.
Mengulas lanjut, negara itu turut memuji kelancaran PICK apabila mampu mencecah rekod lebih 500,000 dos sehari berbanding populasi Malaysia yang juga antara kadar tertinggi di dunia.
“Justeru, pihak kedutaan bersyukur atas kerjasama dan bantuan penuh pihak berwajib negara ini sehingga memudahkan proses vaksinasi kepada semua diplomatnya,” kata kenyataan itu.
Dalam nada optimis, kedutaan berkenaan menyifatkan inisiatif Malaysia wajar dihargai apabila mengutamakan kesihatan termasuk rakyat asing dalam pemberian vaksin yang cukup efektif.
Ini terbukti apabila sebahagian besar warga Iran yang tinggal di negara ini sudah pun diberi peluang disenaraikan sebagai penerima malah ada telah lengkap dua dos vaksin berkenaan.- UTUSAN ONLINE










